fbpx
Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

‘Lenjan’ pekerja produksi, Finas tiada kompromi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUBANG JAYA – Isu kru dan pelakon bekerja melebihi 12 jam sehari masih menghantui industri kreatif tempatan apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengesahkan aduan berhubung perkara itu masih diterima.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pihaknya memandang serius dakwaan tersebut sekali gus tidak akan berkompromi terhadap mana-mana produksi yang gagal mematuhi garis panduan ditetapkan.

Menurutnya, setiap aduan akan disiasat pegawai penyiasat Finas, malah identiti pengadu termasuk kru atau pelakon akan dirahsiakan sepenuhnya.

“Jangan takut untuk membuat aduan. Sama ada kru, pelakon atau ejen mereka, maklumat pengadu akan dirahsiakan dan Finas akan mengambil tindakan terhadap setiap aduan yang diterima.

“Kita sudah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang jelas. Aduan boleh dikemukakan melalui e-mel korporat Finas atau menghubungi kami secara terus.

“Pasukan penguat kuasa akan membuka kertas siasatan dan menjalankan siasatan mengikut prosedur,” katanya ketika ditemui selepas majlis meraikan artis veteran di INTI International College Subang, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas rungutan tular dalam media sosial Threads mengenai amalan bekerja lebih masa yang didakwa masih berlaku dalam sesetengah produksi.

Azmir berkata, waktu kerja yang terlalu panjang bukan sahaja menjejaskan kebajikan kru dan pelakon, malah boleh mengundang risiko kemalangan di lokasi penggambaran serta ketika pulang ke rumah akibat keletihan melampau.

“Kalau sudah bekerja sehingga 16 atau 18 jam, fokus akan terjejas. Risiko kemalangan meningkat dan pelbagai gejala negatif juga boleh berlaku. Sebab itu kami melihat isu waktu bekerja ini sebagai perkara yang amat penting,” katanya.

Menurut beliau, kontrak standard yang diperkenalkan Finas menetapkan tempoh bekerja sekitar 12 jam sehari sebagai amalan terbaik bagi sektor produksi, selain menggalakkan semua pihak berbincang sekiranya berlaku keperluan luar jangka.

Beliau juga mendedahkan Finas sudah menerima tiga aduan berkaitan kebajikan malah andai berlaku pelanggaran serius terhadap syarat yang ditetapkan tindakan memanggil produksi akan dilakukan segera.

“Kami memerlukan kerja sama mereka yang berhadapan isu ini. Jika ada aduan kita boleh datang ke set siasat. Dalam tempoh sebulan ada sekurang-kurangnya 70 penggambaran filem, telefilem dan drama bersiri termasuk untuk saluran penstriman.

“Pemantauan memang ada tetapi kita perlukan aduan untuk membolehkan tindakan susulan diambil yang membolehkan permit penggambaran ditamatkan.

“Tindakan paling tegas pernah dikenakan adalah membabitkan sebuah filem yang tidak boleh ditayangkan atas kesalahan produksi tidak membayar gaji hampir 80 peratus pekerjanya,” katanya.

Isu ‘lenjan’ pekerja produksi hampir 20 jam selain masalah bayaran kru dan pelakon sudah lama diperjuangkan persatuan mewakili penggiat seni tanah air. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN