SEREMBAN – Seorang pekerja syarikat bekalan air didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu dan memperdayakan dua mangsa wanita melibatkan kerugian RM108,500 pada Disember 2025 hingga Mei lalu.
Tertuduh, Mohd. Rashid Sidek, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di dua kamar mahkamah berasingan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli serta Norsalihah Sulaiman.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh telah didapati dengan curangnya telah menipu seorang wanita berusia 38 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM96,500 yang mana beliau tidak akan melakukan sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak kurang setahun atau maksimum 10 tahun dan sebat serta hendaklah didenda.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah menipu mangsa wanita berusia 34 tahun dengan curangnya hingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM12,000 secara pindahan ke dalam akaun bank tertuduh iaitu kesalahan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan. Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Taman Nada Embun dan Taman Nilam Sari di sini antara 30 Disember 2025 hingga 4 Mei lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Nurnadiahani Ideris dan J.G.Vesvanathan masing-masing menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 dan RM5,000. Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM7,500 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 6 dan 12 Ogos depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. – KOSMO! ONLINE














