PETALING JAYA – Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membakar tiga buah kenderaan dalam kejadian membabitkan aktivis ‘Cikgu Chandra’ di sebuah kawasan perumahan Taman Kinrara, Puchong Mac lalu.
Bagaimanapun ketiga-tiga tertuduh iaitu pemandu trak tunda, A.Kumaran, 34, pengawal keselamatan S.Kisshen Nair, 32, dan pemandu lori P. Surendran, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd. Nor.
Mengikut pertuduhan, ketiga-ketiga tertuduh didakwa bersama-sama dengan sengaja telah melakukan khianat dengan api ke atas kereta jenis Perodua Bezza dan Viva serta Proton Ertiga milik M.Sri Uma Mahesvary, 50, yang merupakan isteri aktivis itu hingga mengakibatkan kerugian anggaran RM80,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kawasan rumah di Taman Kinrara, Puchong di sini pukul 3 pagi pada 10 Mac lalu yang didakwa mengikut seksyen 435 kanun keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan maksimum 14 tahun dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan tidak menawarkan jaminan berikutan kesalahan yang dilakukan ketiga-tiga tertuduh adalah kesalahan serius.
“Namun sekiranya mahkamah berhasrat menggunakan budi bicara bagi jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah RM10,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis, tidak menganggu saksi dan menyerahkan pasport,” kata Nurfadzlin.
Bagaimanapun peguam Vinesh Segar yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon mahkamah memberikan ikat jamin dengan alasan ketiga-tiga anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.
Menurut beliau, ketiga-tiga tertuduh yang belum lagi dibuktikan bersalah juga telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah Hakim Noor Ruzilawati membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin masing-masing RM8,000 berserta syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Ogos ini bagi sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan polis membuka dua kertas siasatan berhubung insiden khianat serta ugutan jenayah membabitkan aktivis, ‘Cikgu Chandra’ yang berlaku di kawasan perumahan Taman Kinrara, Puchong.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
Dalam kejadian itu sekumpulan individu dipercayai ke rumah Chandra sehingga menyebabkan sebuah kereta jenis Suzuki Ertiga musnah 100 peratus manakala Perodua Viva dan sebuah lagi kenderaan turut terjejas akibat kebakaran. – KOSMO! ONLINE














