KUALA LANGAT – “Anak saya bukan pembuli.”
Demikian tegas bapa pelajar perempuan yang cedera selepas ditikam sebanyak 16 kali di sebuah sekolah menengah di Banting di sini, susulan nama anaknya dikaitkan dalam dakwaan senarai pelajar yang didakwa terbabit dengan isu buli.
Mohd. Firuz Ibrahim, 43, mengakui terkejut apabila mengetahui terdapat senarai nama yang tersebar di media sosial namun, tidak dapat mengesahkan kesahihan dakwaan tersebut.
“Ada juga dengar cerita, hantar melalui WhatsApp senarai nama, tetapi kita sendiri tidak mendapat kepastian dan tidak tahu perkara sebenar. Hendak cakap lebih pun, biarlah polis yang menjalankan siasatan.
“Kalau dilihat daripada 10 nama itu, memang ada terselit nama anak saya. Tetapi kita tidak tahu apa motifnya.
“Surat yang tular itu pun tidak diyakini ditulis oleh budak itu (suspek) atau orang lain. Biarlah polis buat kerja mereka untuk mengenal pasti perkara sebenar,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Banting di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Firuz, anaknya juga tidak pernah berkongsi sebarang cerita berkaitan suspek sebelum kejadian berlaku.
“Saya ingin tegaskan sekali lagi, anak saya bukan pembuli dan dia melakukan halnya sahaja.
“Kalau keluar rumah pun, saya atau isteri yang hantar. Anak tidak pernah keluar sendiri dengan kawan sekolah. Kalau nak cakap dia buli mungkin tidak,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sudah memberikan keterangan kepada pihak polis berhubung kejadian tersebut.
“Saya terbuka dan tidak kisah. Saya boleh memberikan kerjasama kepada polis termasuk berkaitan isu buli ini,” ujarnya.
Terdahulu, tular sekeping surat yang dikaitkan dengan perancangan suspek berusia 15 tahun untuk menyerang beberapa pelajar yang didakwa mempunyai kaitan dengan isu buli.
Kes berkenaan masih dalam siasatan polis bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian serta kesahihan dakwaan yang tersebar. – KOSMO! ONLINE














