KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneliti dakwaan pengusaha stesen minyak yang didakwa menanggung kerugian antara RM40,000 hingga RM50,000 ketika peralihan pelaksanaan penambahbaikan subsidi bahan api sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mendapatkan maklumat lanjut daripada syarikat minyak sebelum mengadakan rundingan bagi mencari penyelesaian terbaik sekiranya dakwaan itu benar.
Menurut beliau, kerajaan menghargai kerjasama yang diberikan syarikat minyak serta pengusaha stesen dalam memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dan diesel berjalan lancar.
“Saya akan meminta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mendapatkan keterangan lanjut dan berbincang dengan syarikat minyak.
“Setakat ini mereka memberikan kerjasama penuh. Jika tidak, sudah tentu kita tidak dapat melaksanakan penyasaran subsidi RON95 dan diesel dengan berkesan.
“Kalau ada sedikit ketempangan yang dibangkitkan, insya-Allah kita boleh berunding untuk mencari penyelesaian yang baik,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) yang membangkitkan dakwaan pengusaha stesen minyak menanggung kerugian sepanjang tempoh peralihan harga bahan api bersubsidi. – KOSMO! ONLINE














