fbpx
Wong Shung Yen (kanan) pada majlis penerimaan sijil Malaysia Book Of Records atas kejayaan TPK Park baru-baru ini.

Kejayaan TPK Park diiktiraf Malaysia Book of Records

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – TPK Park yang menghimpunkan 16 pengusaha ‘Home & Living’ dalam kawasan seluas kira-kira 96,728 kaki persegi dengan merangkumi lapan kategori utama telah menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai Kluster Peruncitan ‘Home & Living’ Terbesar di  Taman Perindustrian.

Pencapaian tersebut mencerminkan bagaimana sebuah pembangunan perindustrian sedia ada yang matang mampu berkembang menjadi sebuah kluster komersial yang khusus, menerusi pelaburan yang berterusan serta pemilihan perniagaan yang strategik.

Pengarah Urusan TPK Park, Datuk Wong Shung Yen berkata, banyak pembangunan perindustrian telah dibina beberapa dekad lalu, namun tidak semuanya terus berkembang seiring dengan komuniti di sekelilingnya.

“Kami percaya bahawa sekiranya Puchong terus berkembang, kami juga mempunyai tanggungjawab untuk berkembang bersama-sama dengannya.

Ini bermakna kami perlu terus menaik taraf persekitaran, memilih perniagaan yang saling melengkapi serta memastikan TPK Park terus relevan kepada pemilik kediaman hari ini, bukan hanya kepada mereka yang tinggal di sini tiga puluh tahun lalu.

“Berlandaskan momentum ini, kami komited untuk melaksanakan pelaburan melebihi RM1 juta menerusi program pelaburan tujuh angka bagi fasa seterusnya yang melibatkan pembangunan tempat (placemaking) serta penambahbaikan persekitaran di TPK Park, sambil kami terus berkembang bersama Puchong,” katanya.

Beliau  berkata demikian pada majlis penyampaian sijil  Malaysia Book of Records bagi mengiktiraf TPK Park sebagai Kluster Peruncitan ‘Home & Living’ Terbesar di Taman Perindustrian yang telah disempurnakan oleh Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, yang merangkap Ahli Dewan Negeri Kinrara,  Ng Sze Han, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Shung Yen menerangkan, sesebuah destinasi yang berjaya tidak pernah dibangunkan oleh satu organisasi sahaja tetapi ia terbentuk melalui komitmen bersama antara kerajaan, pihak berkuasa tempatan, sektor perniagaan dan komuniti.

“Kami amat menghargai Kerajaan Negeri Selangor, Invest Selangor dan MBSJ kerana mewujudkan persekitaran yang memberi keyakinan kepada perniagaan untuk terus melabur di bandar-bandar matang.

Berbeza dengan kebanyakan pembangunan perindustrian yang dibina beberapa dekad lalu, TPK Park terus berkembang seiring dengan pembangunan Puchong menerusi penambahbaikan berterusan, peningkatan persekitaran, serta pemilihan perniagaan ‘Home & Living’ yang saling melengkapi secara strategik.

“Pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records membuktikan bagaimana pengurusan dan pembangunan jangka panjang mampu memastikan pembangunan perindustrian sedia ada yang matang terus kekal relevan, di samping menyumbang kepada transformasi ekonomi bandar secara menyeluruh,” jelasnya.

Sementara itu, Sze Han memaklumkan bahawa, fasa pertumbuhan ekonomi Selangor  bukan sahaja bergantung kepada usaha menarik pelaburan baharu, tetapi turut bergantung kepada keupayaan membuka potensi yang masih belum diterokai di bandar-bandar sedia ada melalui pembaharuan berterusan serta kerjasama yang lebih kukuh antara sektor awam dan swasta.

“Fasa pertumbuhan Selangor yang seterusnya bukan hanya mengenai pembangunan kawasan baharu, tetapi juga memperkasa dan menghidupkan semula bandar-bandar sedia ada yang telah matang, taman perindustrian dan pusat-pusat komersial.

“Hari ini, TPK Park membuktikan bagaimana sebuah taman perindustrian konvensional mampu ditransformasikan menjadi sebuah kluster peruncitan ‘Home & Living’ yang dinamik menerusi visi jangka panjang, pelaburan semula yang berterusan dan tindakan yang proaktif. Visi dan misi sahaja tidak mencukupi.

“Ia perlu disusuli dengan tindakan, dan TPK Park merupakan contoh terbaik bagi membuktikannya,” ujar beliau.

Tambah Sze Han, Puchong telah melalui transformasi yang amat ketara sepanjang dua hingga tiga dekad lalu daripada sebuah kampung kecil menjadi antara bandar moden paling pesat membangun di Selangor.

Dengan pertambahan populasi keluarga muda, lebih 20 projek pembangunan yang sedang berjalan serta jaringan perhubungan yang kukuh, bandar ini telah mencapai tahap yang mana ekosistem perniagaan khusus seperti ‘Home & Living’ mampu terus berkembang.

Terletak secara strategik di antara Selangor dan Bukit Jalil, TPK Park berada pada kedudukan yang sesuai untuk memenuhi keperluan bukan sahaja penduduk Puchong, malah komuniti di kawasan sekitarnya, sekali gus mengukuhkan lagi peranannya dalam ekosistem ‘Home & Living’ yang semakin berkembang ini. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN