fbpx
AHMAD ZAHID (tengah) menyerahkan replika cek Agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 1/2026 Felcra kepada wakil Felcra di Stadium Tun Abdul Razak Jengka di Maran hari ini.

Felcra agih RM126.9 juta kepada 72,048 peserta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MARAN – Felcra Berhad (Felcra) mengagihkan keuntungan boleh agih interim satu tahun 2026 berjumlah RM126.91 juta kepada 72,048 peserta daripada 747 projek yang mencatat keuntungan di seluruh negara, sekali gus menjadi agihan interim kedua tertinggi dalam tempoh sedekad.

Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Mohamed Ismi Abdul Majid berkata, agihan bagi prestasi Januari hingga April 2026 itu mula disalurkan secara berperingkat bermula hari ini.

Katanya, jumlah agihan tersebut meningkat 7.6 peratus berbanding interim 1 tahun lalu yang berjumlah RM117.87 juta, sekali gus membuktikan komitmen Felcra untuk terus memberi pulangan terbaik kepada peserta walaupun berdepan cabaran ekonomi dan penyusutan harga komoditi.

“Agihan keuntungan ini diharap dapat membantu meringankan beban kewangan peserta, terutama bagi menampung keperluan keluarga termasuk pembiayaan anak-anak yang melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi.

“Bagi projek kelapa sawit, secara purata peserta menerima kira-kira RM250 seekar sebulan. Ini bermakna bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, peserta memperoleh hampir RM1,000 seekar, bergantung kepada keluasan tanah masing-masing,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pengumuman Agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 1 Tahun 2026 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sempena Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 di Stadium Tun Abdul Razak di sini hari ini.

Mohamed Ismi berkata, pencapaian itu direkodkan walaupun harga purata minyak sawit mentah (CPO), buah tandan segar (BTS) dan getah menunjukkan trend penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, purata harga CPO bagi tempoh Januari hingga April tahun ini adalah sekitar RM4,357 satu tan metrik berbanding kira-kira RM4,600 pada tempoh sama tahun lalu.

“Bagaimanapun, pengurangan kos operasi sebanyak 12 peratus berjaya mengimbangi penurunan harga komoditi sekali gus meningkatkan keuntungan yang boleh diagihkan kepada peserta.

“Selain itu, jumlah projek yang mencatat keuntungan meningkat kepada 747 projek berbanding 684 projek pada tempoh sama tahun lalu, manakala bilangan projek yang mengalami kerugian turut berjaya dikurangkan hasil pemantauan prestasi yang berterusan dan pengurusan operasi yang lebih cekap,”jelasnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN