PERANCAH adalah komponen kritikal dalam sektor pembinaan, penyelenggaraan industri berat dan projek bangunan tinggi selain turut diperlukan dalam industri minyak dan gas serta penerbangan.
Bersandarkan keperluan tersebut, Kumpulan MKRS yang telah bertapak kukuh dalam industri selama lebih 35 tahun kini menjadi perintis, malah peneraju dalam industri berkenaan sehingga mampu mengembangkan penguasaan pasarannya ke Arab Saudi.
Ini direalisasikan melalui kerjasama strategik yang dimeterai antara MKRS dengan Sinyar Saudi Industrial Investment Company (Sinyar Saudi) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pengerusi Kumpulan MKRS, Datuk Dr. Saravanan Karrupayah berkata, inisiatif tersebut membawa nama negara dan produk buatan Malaysia ke pasaran global, sekali gus memberi peluang kepada bakat tempatan mendapatkan pengalaman bekerja di luar negara.
“Projek ini dijangka mewujudkan laluan berstruktur untuk eksport bakat Malaysia, pemindahan teknologi dan kerjasama perindustrian, sambil meletakkan negara sebagai rakan strategik dalam menyokong agenda transformasi perindustrian dan penyetempatan di Arab Saudi,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Turut hadir pada sesi temubual itu adalah Pengasas dan Pengerusi Sinyar Saudi, Fahad Almishal.
KOSMO!: Boleh jelaskan secara umum tentang Kumpulan Syarikat MKRS?
SARAVANAN: MKRS adalah kumpulan penyelesaian kejuruteraan dan perindustrian tempatan yang mana kami memiliki pengalaman lebih daripada 35 tahun dalam kejuruteraan, minyak & gas, limbungan kapal, sokongan penerbangan, perkhidmatan perindustrian, pembangunan kecekapan dan pelaksanaan projek antarabangsa.
Selama ini, kami diiktiraf kerana membangunkan dan memperkenalkan salah satu penyelesaian perancah sistem perintis yang dibangunkan secara tempatan.
Produk perancah sistem perindustrian pertama buatan Malaysia ini digunakan secara meluas merentasi projek infrastruktur, penerbangan, tenaga, limbungan kapal dan perindustrian di seluruh negara.
Kami juga menawarkan perkhidmatan sehenti untuk segmen perancah yang dapat memenuhi keperluan semua industri, selain memiliki kilang dan pusat latihan. Kami turut mengembangkan pasaran ke Indonesia, Filipina dan Thailand.
Boleh jelaskan mengenai kerjasama strategik dengan Sinyar Saudi?
Ia melibatkan pembekalan kelengkapan perancah kepada projek pembangunan di Arab Saudi yang berkaitan dengan industri minyak dan gas. Pada September tahun ini, proses penghantaran segala keperluan perancah dari Malaysia ke sana bakal bermula.
Ini projek pertama kami di sana dan kami berbangga untuk melihat produk buatan tempatan menyokong projek pembangunan di luar negara.
Berapa nilai kontrak tersebut?
FAHAD: Industri perancah adalah satu cabang perniagaan yang sukar dan kami memilih MKRS kerana rekod pengalamannya yang panjang dalam industri. Pada tahun pertama, projek ini akan melibatkan nilai antara AS$15 juta hingga AS$20 juta, manakala untuk tahun kedua ia akan bertambah sehingga empat kali ganda iaitu antara AS$80 juta hingga AS$100 juta.
Kami sedang merangka pelan pembangunan dan perkembangan strategi agar dapat sama-sama mencapai tujuan untuk tempoh jangka panjang.
Mengapa masa yang lama diambil untuk memuktamadkan perjanjian ini?
Kami telah memperuntukkan masa lebih dua tahun untuk berbincang tentang projek ini, ya agak lama kerana ia memerlukan masa untuk kami memahami antara satu sama lain. Kami juga perlu membuat analisis tentang nilai pasaran kerana industri ini berpotensi serta menawarkan peluang yang baik dan berbaloi dalam pelaburan yang dibuat.
Adakah ini akan menjadi platform kepada MKRS memperoleh projek lain di Arab Saudi?
SARAVANAN: Sebenarnya, produk kami setanding dengan syarikat luar negara. Kami telah terlibat dalam banyak kerjasama dengan syarikat yang memerlukan garis panduan ketat dalam aspek pensijilan, komponen dan lain-lain.
Melalui projek terbaharu ini, kami sangat yakin akan terus menyokong projek pembangunan di Arab Saudi untuk tempoh jangka panjang. Kami juga yakin ia bukan sekadar untuk industri petrokimia tetapi juga untuk projek lain termasuk pembinaan, penerbangan dan fabrikasi.
Apakah manfaat lain yang dibawa projek ini buat MKRS?
Projek ini bukan sahaja melibatkan penawaran perkhidmatan, tetapi juga akan membangunkan bakat tempatan di sana. Saya melihat untuk tempoh tiga tahun akan datang, bagi memenuhi keperluan pasaran, kami mungkin akan membuka sebuah kilang pengeluaran perancah di Arab Saudi, tetapi segala rancangan itu perlulah berkaitan dengan permintaan.
Kini, kami memiliki sebuah kilang di Semenyih yang telah beroperasi sejak 2019 dengan kapasiti untuk membekalkan perancah sebanyak 1,500 tan sebulan. Pastinya dengan projek baharu ini, kami akan meningkatkan kapasiti kilang dan kami juga mendapat sokongan bekalan daripada rangkaian sedia ada. Buat masa ini, pengeluaran kilang ini adalah untuk memenuhi keperluan pasaran
tempatan.














