PORT DICKSON – Kewujudan banyak premis yang didakwa dikendalikan etnik Rohingya di Lukut di sini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan yang mendakwa golongan itu semakin menguasai sektor perniagaan makanan dan runcit.
Situasi itu dipercayai berlaku setelah komuniti tersebut berpindah ke daerah ini selepas sebuah taman perumahan di Sikamat, Seremban yang menjadi penempatan pelarian Rohingya terbesar di Negeri Sembilan diserbu pihak berkuasa kira-kira dua tahun lalu.
Tinjauan Kosmo! Ahad di sebuah kedai runcit di Lukut baru-baru ini mendapati premis tersebut dikendalikan pekerja etnik Rohingya dan dilengkapi dengan televisyen litar tertutup (CCTV).
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Ali, 30-an, berkata, terdapat kedai makan dan kedai runcit yang diusahakan etnik Rohingya secara sebelah menyebelah di tepi jalan utama Seremban-Lukut sejak lebih dua tahun lalu.
“Di tepi jalan nampak sunyi, tetapi terdapat beberapa kedai makan seperti tomyam dan semakin berkembang termasuk di taman perumahan. Anggaran dalam 10 buah (kedai) dan aktivitinya rancak pada waktu malam.
“Sebuah kedai mempunyai enam pekerja etnik Rohingya. Saya tidak tahu sama ada mereka (pekerja) mengambil suntikan tifoid atau tidak.
“Rata-rata mereka dipercayai beroperasi menggunakan nama orang tempatan, tetapi pekerja terdiri daripada warga asing,” katanya.
Menurut Ali, harga makanan yang ditawarkan di premis dikendalikan warga asing itu lebih murah berbanding kebanyakan premis lain, namun yang menjadi persoalan adalah mengenai tahap pematuhan undang-undang dari segi perolehan lesen dan cukai.
“Peniaga tempatan perlu mengikut pelbagai syarat. Jadi timbul persoalan sama ada premis-premis dikendalikan warga asing ini mengikut syarat yang sama atau sebaliknya,” katanya.
Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Alia, 20-an, berkata, dia bimbang dengan lambakan premis warga asing tersebut yang dikhuatiri boleh memberi kesan kepada peniaga tempatan.
“Orang kita bersusah payah membina perniagaan, membayar cukai dan caruman pekerja serta kos-kos lain. Malah, ada kedai tomyam yang dioperasikan orang Rohingya berkembang pesat dan membuka cawangan.
“Kalau ada pihak yang berniaga tanpa mematuhi syarat yang sama, sudah tentu mereka boleh menawarkan harga lebih rendah,” katanya.
Menurut Alia, antara faktor yang menarik pelanggan berkunjung ke premis itu adalah kerana harga makanan yang dijual adalah murah selain kuantitinya banyak. Nasi lemak ayam misalnya dijual pada harga RM5.50 hingga RM6 sebungkus.
“Kalau makan secara berkumpulan jumlah bil cuma RM30. Sebab itu pelanggan mereka ramai,” katanya.
Bagaimanapun, Alia mengakui setakat ini kehadiran etnik Rohingya di kawasan itu tidak menimbulkan ancaman keselamatan kepada penduduk, namun berharap pihak berkuasa dapat memantau aspek lesen perniagaan dan status pekerja.














