PETALING JAYA – Seorang lelaki dipercayai kurang siuman dan berkerusi roda mengundang rasa cemas orang ramai apabila bertindak membaling dua biji batu ke arah kenderaan yang lalu lalang di ibu negara.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads oleh Lunoxxy0 malam tadi, kejadian tersebut dirakam ketika dia berjalan untuk mengambil air minuman.
Difahamkan, kejadian itu berlaku di kawasan pejalan kaki di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Kelihatan seorang lelaki berkerusi roda mengamuk sendirian sebelum mengambil batu besar dan membalingnya ke arah kereta yang melalui kawasan tersebut.
“Kasihan dua kereta yang kena baling batu besar, tak pasal-pasal,” katanya pada hantaran tersebut.
Bagaimanapun pemilik video itu berkata, seorang anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang melihat kejadian itu bertindak segera memindahkan semua batu yang dikumpulkan ke tempat lain.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna meluahkan rasa bimbang terhadap keselamatan orang ramai yang melalui kawasan tersebut.
“Bayangkan pemandu kereta yang dibaling batu sampai pecah cermin ada masalah duit atau baru dapat kerja? Tak kisahlah orang kurang upaya (OKU) ke apa, jangan susahkan orang lain,” kata Eggcitedtobite.
“Dekat kawasan ini memang ramai orang sakit. Mereka ganggu orang awam dan suka minta duit nak makan,” kongsi Aieadam.
Selain itu, ada netizen yang berpendapat tindakan segera perlu diambil oleh pihak berkuasa atau ahli keluarga lelaki tersebut bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku.
“Pihak berkuasa tolonglah bawa mereka ini ke tempat yang sepatutnya. Jangan biarkan mereka merayau sana-sini sampai ganggu orang lain,” kata Nrfaradayana. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














