fbpx
Gambar memaparkan aksi perlawanan antara Cape Verde dengan Malaysia pada tahun lalu. Foto IHSAN FAM.

Setahun lalu seri dengan Malaysia, kini Cape Verde jadi bualan dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perjalanan luar biasa Cape Verde di pentas Piala Dunia 2026 terus mencuri perhatian penyokong bola sepak apabila ramai mengimbau aksi negara kecil itu yang pernah diikat Malaysia 1-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, kira-kira setahun lalu.

Di laman Threads, ramai netizen menyifatkan keputusan seri itu kini memberi gambaran sebenar kekuatan Cape Verde yang berjaya melangkah sehingga ke pusingan kalah mati sebelum memberi tentangan sengit kepada juara bertahan, Argentina.

Pemilik akaun @Rasanostra berkata, kira-kira setahun lalu Malaysia berjaya mengikat Cape Verde 1-1 di Kuala Lumpur, namun kini negara itu beraksi di pentas Piala Dunia menentang Argentina.

“Lebih kurang setahun yang lepas di Kuala Lumpur, Malaysia seri 1-1 dengan Cape Verde. Hari ini, Cape Verde pula beraksi di Piala Dunia menentang Argentina. Memang luar biasa,” katanya.

Seorang lagi pengguna, @Xahmadgentx pula berseloroh Cape Verde tidak lagi akan datang beraksi di Stadium Cheras kerana taraf pasukan itu kini sudah berada di pentas bola sepak dunia.

“Lepas ini Cape Verde takkan datang dan main di Stadium Cheras lagi. Tahap mereka sekarang sudah setaraf beraksi di stadium seperti Wembley atau Allianz Arena,” katanya.

Sementara itu, pengguna @Adammmhariz berpandangan kejayaan Cape Verde membuktikan Malaysia perlu berani memperkasa pencarian pemain warisan, menghantar lebih ramai pemain muda beraksi di liga luar negara serta membentuk identiti permainan yang jelas.

“Daripada 26 pemain Cape Verde, hanya 11 dilahirkan di negara itu. Hampir semua pemain mereka beraksi di liga luar negara. Malaysia juga perlu lebih berani memberi peluang pemain muda beraksi di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Turut senada, akaun @Bootbolamy berkata, ramai sebelum ini memandang rendah kemampuan Cape Verde ketika dijadual bertemu Malaysia, namun prestasi mereka di Piala Dunia membuktikan pasukan itu sebenarnya memiliki kualiti bertaraf dunia.

“Masa Malaysia lawan Cape Verde dalam aksi persahabatan, ramai yang kutuk kenapa pilih lawan mereka. Sekarang semua dah tahu kemampuan sebenar Cape Verde. Memang bertaraf dunia,” katanya.

Terdahulu, Cape Verde mencipta sejarah sebagai negara dengan populasi paling kecil yang berjaya mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia sebelum memberi saingan hebat kepada Argentina dalam aksi pusingan 32 terbaik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN