fbpx
COLUMBIA

Piala Dunia 2026: Colombia tempah tiket 16 terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANSAS CITY – Jaringan awal Jhon Arias sudah memadai untuk menghadiahkan kemenangan 1-0 buat Colombia ke atas Ghana sekali gus mengesahkan kemaraan Los Cafeteros ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Colombia melengkapkan senarai pasukan yang layak ke pusingan kalah mati selain bakal membuat perhitungan dengan Switzerland dalam usaha memburu tiket ke suku akhir.

Colombia mempamerkan aksi lebih meyakinkan sepanjang perlawanan apabila menguasai permainan dan mencipta deretan peluang, namun hanya mampu menghasilkan satu gol meskipun Ghana bergelut untuk memberikan ancaman serius.

Bagaimanapun, pasukan bimbingan Nestor Lorenzo menerima tamparan awal apabila penyerang utama, Jhon Cordoba terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan seawal 10 minit pertama, sebelum kapten James Rodriguez turut direhatkan selepas tamat babak pertama.

Luis Díaz hampir menggandakan kelebihan Colombia pada separuh masa kedua, namun jaringan pemain Bayern Munich itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan dia berada dalam kedudukan ofsaid.

Penjaga gol Ghana, Lawrence Ati-Zigi kemudian sekali lagi menyelamatkan pasukannya apabila menafikan percubaan Diaz dari jarak dekat, selain pemain berusia 29 tahun itu terus menjadi nadi serangan Colombia dengan beberapa hantaran berbahaya kepada rakan sepasukan.

Ghana cuba bangkit pada babak kedua dengan lebih banyak menguasai bola, namun mereka gagal menghasilkan sebarang percubaan tepat ke arah gawang yang dikawal Camilo Vargas, sekali gus menyaksikan benteng Colombia terus kebal selepas hanya dibolosi sekali sepanjang kejohanan.

Kejayaan itu turut menyaksikan Lorenzo muncul jurulatih kelahiran Argentina keempat yang berjaya membawa pasukannya ke pusingan 16 terbaik, manakala Colombia turut mencatat kemenangan pertama di peringkat kalah mati Piala Dunia sejak edisi 2014. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN