MELAKA – Empat masjid di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong bukan sahaja menawarkan perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma kepada anak kariah, malah turut menanggung kos kenduri tahlil malam pertama sebagai usaha meringankan beban waris yang kehilangan insan tersayang.
Empat masjid tersebut ialah Masjid Al-Wahab Permatang Duyong, Masjid Fathur Rahman Pengkalan Rama, Masjid Al-Abrar Semabok dan Masjid Laksamana Hang Tuah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berkata, inisiatif yang memasuki tahun ketiga pelaksanaan itu membuktikan masjid bukan sekadar tempat ibadah, sebaliknya berfungsi sebagai institusi kebajikan yang sentiasa bersama masyarakat ketika saat paling sukar.
Menurut beliau, selain menguruskan jenazah tanpa sebarang bayaran, beberapa masjid turut menyediakan jamuan kenduri malam pertama atau majlis tahlil yang ditanggung sepenuhnya oleh pihak masjid.
“Pendekatan setiap masjid berbeza, ada yang terus menyediakan kenduri pada hari kematian, manakala ada yang menghimpunkan beberapa keluarga dan mengadakan majlis tahlil setiap malam Jumaat dengan kehadiran sekurang-kurangnya 100 jemaah.
“Semua kos ditanggung masjid dan alhamdulillah sepanjang beberapa tahun dilaksanakan, kita tidak pernah gagal kerana sumbangan orang ramai sentiasa bertambah,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ujar beliau, bagi anak kariah, keseluruhan kos pengurusan jenazah ditanggung oleh masjid, manakala bagi bukan anak kariah yang memerlukan bantuan, pihaknya turut mendapat kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Amal Team Melaka dan UKVJ.
“Tanpa sebarang bantuan, kos pengurusan jenazah boleh mencecah lebih RM1,000 bergantung kepada keadaan tanah perkuburan, khususnya kerja penggalian kubur.
“Jika tanah keras atau berbatu, lebih ramai tenaga kerja diperlukan dan kosnya juga lebih tinggi berbanding kawasan yang mudah digali,” katanya.
Jelasnya, bagi mengurangkan kos operasi, golongan wanita bergotong-royong menyediakan kain kapan, manakala golongan belia menghasilkan papan liang lahad secara sukarela.
“Apabila masyarakat sendiri terlibat, bukan sahaja kos dapat dijimatkan, malah masjid menjadi lebih hidup dengan penglibatan wanita, belia dan ahli kariah yang bersama-sama menjayakan kerja kebajikan.
“Pihak masjid turut menggalakkan setiap kampung dan surau memperkukuh tabung khairat kematian supaya bantuan kewangan dapat disalur segera kepada waris sebagai perbelanjaan awal sementara menunggu bantuan daripada agensi berkaitan.
“Program itu pada awalnya digerakkan menerusi bantuan permulaan sebanyak RM5,000 kepada setiap masjid sebelum diteruskan hasil infak ramai, syarikat korporat serta sumbangan individu yang pernah menerima manfaat daripada perkhidmatan itu,” katanya.
Pada Rabu lalu Kosmo! melaporkan, terdapat jenazah ‘terbiar’ dan hanya ditutup kain batik sementara menunggu bayaran pengurusan diselesaikan. – KOSMO! ONLINE














