ISU bauksit di Felda Bukit Goh kembali diperkatakan selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mengesan aktiviti itu dan membuat rampasan bernilai RM2 juta, Khamis lalu.
Turut dirampas dua jengkaut bernilai RM1 juta dan tiga buah lori berharga RM750,000. Turut ditahan sembilan individu termasuk seorang peneroka Felda yang mendakwa tanahnya dipajak kepada sebuah syarikat sejak Mac lalu.
Difahamkan, tanah itu dipajak kepada syarikat terbabit tanpa kebenaran daripada kerajaan negeri atau Felda.
Berdasarkan maklumat daripada beberapa peneroka, dalam pajakan tanah itu mereka ditawarkan deposit sebanyak RM5,000 selain dibayar 15 peratus daripada jualan sawit dan mendapat bayaran mengikut perjanjian diberikan didakwa RM10 bagi setiap tan.
Semakan mendapati aktiviti mengorek tanah itu tidak mempunyai sebarang lesen dan kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri.
Dengan tiada pemantauan daripada mana-mana pihak berkuasa, masalah pencemaran kemungkinan besar tidak dapat dikawal. Malah peneroka bukan sahaja hilang hak dalam tempoh pajakan, tetapi mungkin berisiko ditipu dalam jualan bauksit.
Siapa yang akan memastikan berapa tan bauksit dikeluarkan kerana kontraktor boleh mendakwa hanya lima lori sedangkan 10 lori keluar.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan meskipun dalam tempoh moratorium papan tanda pengeluaran bauksit dan penanaman semula dipacak di ladang sawit di lokasi berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, setakat ini lesen melombong bauksit masih dibekukan dan kemungkinan yang ada hanya lesen lama yang diperoleh syarikat sebelum ini.
Katanya, mana-mana projek yang hendak dilakukan bagi memajukan kawasan Felda itu perlu diangkat terlebih dahulu kepada kerajaan negeri dan Felda untuk kelulusan.
Pengarah Pusat Kelestarian Mineral Dan Teknologi Pemulihan Sumber, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Prof. Madya Dr. Mohd. Yuhyi Mohd. Tadza berkata, masih terdapat bauksit di Bukit Goh, Bukit Kuantan, Kotasas, Beserah, Gebeng dan Damansara.
Katanya, dalam melaksanakan perlombongan bauksit pelan tindakan awal perlu disediakan termasuk pengasingan sementara ‘top soil’ untuk dikembalikan ke kawasan asal bukan dilupuskan terus seperti kebiasaan.
Selain itu, pelan tindakan pemuliharaan juga perlu disediakan selain perancangan penggunaan tanah yang terlibat perlu dikenal pasti.
“Ini penting untuk memastikan pelan pemuliharaan ini dapat dirangka dan dijalankan dengan baik bergantung kepada keperluan tanah pada masa hadapan,” katanya.
Berbalik kepada isu perlombongan bauksit baru-baru ini, ia menyaksikan dalam tempoh 10 tahun moratorium tidak mustahil lebih banyak bauksit telah ‘terlepas’ kerana kehadiran jentera-jentera berat tersebut seolah tidak disedari.
Keadaan itu juga menimbulkan persoalan adakah pihak terbabit bermula daripada adakah pemimpin akar umbi peneroka, Felda, pihak berkuasa tempatan tidak menyedari kewujudan jentera besar berharga jutaan ringgit membawa keluar bauksit. Mengapa hanya menunggu serbuan PGA baru penguatkuasaan dapat dilakukan dan siapakah mereka ini yang berani melanggar moratorium?














