YAN – Seorang lelaki mengalami kecederaan patah kaki dan tangan selepas sebatang pokok durian tumbang lalu menghempap rumahnya di Kampung Matang Keramat, Jalan Batu Hampar di sini hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Ku Osman Ku Hamid yang berusia lingkungan 40-an ditemukan tersepit di bahagian atas rumah dua tingkat tersebut.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.07 pagi.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Yan bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat seorang lelaki tersepit di bahagian atas rumah.
“Mangsa mengalami kecederaan patah kaki kanan dan tangan kiri,” katanya di sini hari ini.
Katanya, anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan
untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














