TAPAH – Durian hutan atau digelar ‘durian daun’ dalam kalangan penduduk Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Genting Batu 9, Chenderiang, di sini mempunyai keistimewaan tersendiri apabila rasa isinya seakan-akan vanila.
Menurut pemiliknya, Andak Boa, 65, pokok durian itu merupakan antara 100 pokok yang diwarisinya sejak zaman nenek moyangnya di kawasan hutan tebal Banjaran Titiwangsa.
“Kini, tinggal sepokok sahaja jenis durian daun yang menghasilkan 80 hingga 100 biji setiap kali musim. Yang lain durian kampung. Kesemuanya telah berusia lebih 100 tahun.
“Kawasan hutan jadi campak sahaja bijinya sebelum lama-kelamaan membesar. Tidak perlukan baja atau racun. Apa itu, orang sekarang kata organik,” katanya di sini semalam.
Katanya, ramai penggemar durian mendakwa isinya kekuningan selain rasa eksotik yang pelbagai seperti rasa lemak manis yang kuat, beralkohol dan sedikit pahit seakan-akan duri hitam.
“Malah, ada yang mendakwa rasanya seakan-akan vanila. Semua mempunyai pendapat tersendiri tetapi durian ini digemari semua kaum tidak mengira Melayu, Cina atau India malah Orang Asli sendiri,” katanya.
Jelasnya, setiap kali musim tiba, pendapatan kasarnya boleh mencecah empat angka, namun cukup untuk menampung kehidupan semasa bersama suami, Bah Isa Bah Soon, 67.
Tambahnya, durian daun itu dijual dengan harga RM8 hingga RM10 sekilogram mengikut gred jika dibeli terus dengannya.
Durian daun atau nama saintifiknya durio lowianus merupakan spesies durian hutan liar asli yang dikategorikan antara varieti unik dan jarang ditemui.
Ciri-ciri fizikalnya ialah tangkai pendek, buahnya berbentuk bulat, saiz lebih kecil, kulit berwarna hijau selebihnya selain durinya lebih tajam dan runcing.














