NEW YORK – Presiden Cape Verde, José Maria Neves percaya negaranya mampu menewaskan Argentina 1-0 dalam perlawanan pusingan 32 terbaik untuk meneruskan perjalanan penuh fantasi mereka.
Negara dari Afrika itu berjaya layak ke Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah dan secara mengejutkan turut mara ke peringkat kalah mati.
Cape Verde mempamerkan aksi cemerlang apabila mengikat Sepanyol dan Uruguay dalam dua perlawanan pertama kumpulan. Keputusan seri sekali lagi menentang Arab Saudi sudah memadai untuk mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya selepas Uruguay tewas kepada Sepanyol.
‘Ganjaran’ mereka ialah perlawanan kalah mati pertama dalam sejarah, yang menemukan mereka dengan juara bertahan, Argentina.
Walaupun Cape Verde dianggap sebagai pasukan bukan pilihan, Neves yakin negaranya mampu terus mencipta sejarah dan menyingkirkan Argentina.
“Saya fikir Cape Verde boleh menewaskan Argentina 1-0. Kami turun untuk menang. Apabila jangkaan terhadap sesebuah pasukan rendah, tetapi pasukan itu mempunyai keinginan yang kuat untuk menang, apa sahaja boleh berlaku.
“Sebagai sebuah negara kecil, Cape Verde perlu sentiasa berusaha melakukan perkara seperti itu sentiasa mengejutkan orang ramai. Kami mempunyai peluang 100% untuk menang menentang Argentina,” katanya.
Neves turut menyifatkan perlawanan menentang Argentina sebagai sebahagian daripada takdir Cape Verde di Piala Dunia ketika mereka bersedia berdepan Lionel Messi dan rakan-rakannya.
“Kami datang ke Piala Dunia ini untuk mencipta takdir kami sendiri, iaitu berdepan pasukan-pasukan juara. Jadi, kami akan menentang Argentina dan Messi dengan semangat, keazaman dan keinginan yang sama untuk menang serta mara ke pusingan seterusnya,” jelasnya. – AGENSI














