PETALING JAYA – Sebanyak 1,250 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif di seluruh negara telah diluluskan dengan kos keseluruhan berjumlah RM13.8 bilion.
Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi kenyataan memaklumkan, sehingga bulan Jun 2026, 813 projek telah siap sepenuhnya, 173 projek dalam pembinaan, manakala 264 projek lagi berada pada peringkat prabina.
“Tempoh pembinaan bagi projek ini adalah di antara enam hingga 36 bulan tertakluk kepada skop projek dan keperluan kerja penyediaan tapak.
“Bilangan sekolah daif seperti yang dilaporkan media baru-baru ini adalah bersifat dinamik dan ia berubah dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu hari ini.
Dalam pada itu, KPM sentiasa mengambil langkah proaktif bagi menangani isu sekolah daif di seluruh negara.
“KPM melalui jabatan pendidikan negeri (JPN) sentiasa memantau rapi keperluan dan kebolehlaksanaan pembinaan bangunan gantian bagi sekolah daif.
“KPM sentiasa berusaha memastikan akses pendidikan berkualiti dan ekosistem yang kondusif di semua sekolah di seluruh negara demi manfaat murid, guru dan seluruh masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














