KUANTAN – Sebanyak 12 pasukan terbaik daripada 42 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang bakal berentap pada peringkat akhir Liga Bola Jaring Pahang 1st yang bakal berlangsung bermula Jumaat sehingga Ahad ini di Stadium Tertutup SUKPA, Bandar Indera Mahkota, di sini.
Presiden Persatuan Bola Jaring Pahang merangkap Penasihat Program, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, Liga Bola Jaring Pahang 1st yang julung kali dianjurkan berjaya menghimpunkan 42 pasukan daripada DUN di seluruh negeri.

Beliau berkata, program ini sekali gus menjadi platform pembangunan sukan massa, sukan kompetitif dan sukan komuniti yang lebih inklusif dengan penyertaan terbuka kepada semua warga yang berdaftar di DUN masing-masing tanpa mengira status pemain.
“Daripada 42 pasukan yang bertanding di peringkat awal, hanya 12 pasukan terbaik yang muncul juara dan pemenang utama di peringkat zon berjaya melayakkan diri ke saingan akhir di Stadium Tertutup SUKPA, Bandar Indera Mahkota bermula Jumaat sehingga Ahad ini.
“Penganjuran Liga Bola Jaring Pahang 1st ini bertujuan memperkukuh pembangunan sukan bola jaring di negeri ini selain memperluaskan penyertaan wanita dan remaja perempuan dalam aktiviti sukan yang tersusun.
“Penganjuran berskala besar ini membuka ruang kepada wanita dan remaja perempuan untuk aktif dalam sukan yang berstruktur, sekali gus menyokong agenda pembangunan wanita dari aspek kesihatan, kepimpinan, keyakinan diri dan keterlibatan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, kejohanan tersebut berlangsung di tiga lokasi iaitu Zon Tengah di Arena Yan Tengku Muda Pahang pada 6 hingga 7 Jun, Zon Timur di Kompleks Komuniti Pekan pada 13 hingga 14 Jun dan satu lagi Zon Tengah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub pada 20 hingga 21 Jun lalu.
Dalam pada itu, beliau berkata, sambutan yang diterima amat memberangsangkan memandangkan ia merupakan penganjuran kali pertama dan optimis lebih 3,000 peminat bola jaring akan berkumpul di Stadium Tertutup SUKPA pada peringkat Zon Perdana.
“Penyertaan bukan sahaja melibatkan atlet, pelajar sekolah, pendidik, jurulatih dan pengadil, malah turut disertai komuniti setempat yang bersama-sama memeriahkan program ini.
Bagi saingan peringkat zon, pasukan yang berjaya merangkul kejuaraan membawa pulang wang tunai RM7,000 berserta pingat, manakala naib juara menerima RM5,000, tempat ketiga RM3,000 dan tempat keempat RM2,000.
Untuk peringkat akhir Liga Bola Jaring Pahang 1st, juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, diikuti naib juara RM7,000, tempat ketiga RM5,000 dan tempat keempat RM3,000. – KOSMO! ONLINE














