fbpx
Nadzim (tengah) bersama mangsa sindiket penipuan pada sidang akhbar di Villa Puteri Kondominium, hari ini. SADDAM YUSOF/KOSMO!

Tertipu urusan jual beli tanah, merana tanggung rugi RM6.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Hampir dua dekad menunggu keadilan, seorang bekas pengusaha stesen minyak masih berharap agar wang hasil penjualan tanah miliknya bernilai RM6.2 juta yang didakwa lesap akibat penipuan diperolehi semula.

Zaidatul Sharifah Zainal Abidin, 57, mendakwa, dia kerugian selepas menjadi mangsa penipuan dalam urusan penjualan tanah bagi sebuah stesen minyak di Johor Bahru pada tahun 2007.

Katanya, semua urusan jual beli dilakukan mengikut prosedur melalui peguam dengan dokumen lengkap, namun wang hasil transaksi itu tidak pernah diterimanya sehingga kini.

“Saya sudah membuat dua laporan polis. Harapan saya hanya mahu mendapatkan semula hak saya,” katanya pada sidang media anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini hari ini.

Menurut pesara tersebut, setelah menggunakan khidmat seramai 15 peguam bagi menyelesaikan kes berkenaan, ia masih gagal menemui titik penyelesaian.

Turut berkongsi nasib yang sama ialah seorang usahawan, Pan Shiqiao, 43, yang mendakwa kerugian RM2.3 juta selepas diperdaya dalam pelaburan tanah.

Beliau berkata, wang pelaburan dipindahkan kepada peguam mengikut perjanjian, namun individu terbabit menghilangkan diri, manakala tanah yang dijanjikan didakwa tidak boleh diperdagangkan kerana berada di bawah kawalan kerajaan.

Katanya, sebanyak tujuh laporan polis telah dibuat berhubung kes itu, namun siasatan didakwa berjalan perlahan, manakala pertikaian membabitkan peguam pula diminta dibawa ke mahkamah sivil.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kes penipuan yang belum mencapai penyelesaian membuat mangsa terpaksa menunggu bertahun-tahun.

“Apabila kes dibiarkan terlalu lama, mangsa bukan sahaja kehilangan wang, malah hilang mata pencarian dan keyakinan terhadap sistem keadilan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN