SHAH ALAM – Penyanyi Nuha Bahrin menepis spekulasi kononnya dia bermasam muka dengan rakan duetnya menerusi lagu Casablanca iaitu Naufal Azrin.
Menurut Nuha atau nama lengkapnya Nuha Sakina Saiful Bahrin, 26, ramai yang beranggapan dia dan Naufal tidak lagi berkawan sejak penyanyi itu berkahwin.
“Ramai orang ingat saya gaduh dengan dia. Sebenarnya tidak. Mungkin orang ingat kami pernah bersama sebab di awal kemunculan lagu Casablanca dulu memang kami acah-acah buat konten bersama.
“Hubungan kami sebenarnya Ibarat keluarga. Keluarga kami kenal satu sama lain,” katanya kepada Kosmo Online.
Ditanya sama ada dia cuba menjaga batas memandangkan rakan duetnya itu sudah bergelar suami orang, kata Nuha, pendekatan itu sudah diambil sejak dahulu.
“Kami dari dulu memang menjaga batas. Tidak lebih daripada rakan sekerja. Jadi tak timbul isu saya dan Naufal tidak lagi bekerjasama sebab dia sudah berkahwin. Saya mengenali isterinya, dan dia seorang yang sangat manis.
“Lagipun kami sekarang berbeza syarikat rakaman. Jadi agak susah untuk kami bekerjasama,” jelasnya.
Lama menyepi, Nuha kini muncul dengan buah tangan baharu berjudul Malam-Malam ciptaan Ezra Kong dan Sufairah Mohd.
Bercerita lanjut tentang lagu baharunya, kata penyanyi bertubuh genit itu, dia gembira dengan sambutan yang diterima peminatnya.
“Alhamdulillah peminat suka dengan lagu baharu saya. Ini adalah sesuatu yang baru untuk saya. Saya belum pernah hasilkan lagu ‘fusion’ seperti ini yang ada gabungan muzik Sepanyol, Arab dan Melayu .
“Lebih mengharukan lagu ini turut diterima baik oleh generasi milenium dan X. Lagu saya sebelum ini lebih digemari oleh golongan muda,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














