MELAKA – Kekangan kewangan telah menyebabkan jenazah seorang mualaf India Muslim terkandas hampir dua hari di Hospital Melaka, sebelum akhirnya mendapat pembelaan daripada sebuah pertubuhan amal.
Pengerusi Pertubuhan Amal Team Melaka, Adnan Seman berkata, bantuan itu dihulurkan selepas pihaknya menerima rayuan daripada rakan arwah di Perak kerana keluarga si mati tidak berkemampuan untuk datang ke Melaka dan menguruskan pengebumian.
Menurutnya, arwah yang berusia dalam lingkungan 40-an, hidup sebatang kara di Melaka dan tidak mempunyai waris yang dapat menguruskan jenazahnya.
“Rakan arwah menghubungi kami memaklumkan mereka memang mahu menguruskan jenazah, tetapi tidak mampu datang ke Melaka kerana kekangan kewangan.
“Ketika itu jenazah sudah berada hampir dua hari di Hospital Melaka sebelum kami mengambil alih urusan selepas mendapat surat kebenaran serta dokumen berkaitan,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Adnan berkata, pihaknya menguruskan keseluruhan proses bermula daripada pengambilan jenazah di hospital, mandi dan kafan, solat jenazah sehingga pengebumian secara percuma.
Katanya, sejak enam tahun lalu, Amal Team Melaka memberi tumpuan membantu golongan asnaf, mualaf serta individu sebatang kara yang tidak mempunyai waris atau keluarga tidak berkemampuan menguruskan kematian.
“Kadangkala bukan keluarga tidak sayang, tetapi mereka benar-benar tidak mampu, jadi kami tampil sebagai keluarga terakhir supaya jenazah dapat disempurnakan dengan penuh penghormatan mengikut syariat Islam.
“Kes seperti ini bukan kali pertama berlaku kerana ada juga jenazah yang terbiar berbulan-bulan kerana masih menunggu siasatan polis atau tiada waris tampil menuntutnya sebelum kami dipanggil membantu,” katanya.
Beliau berkata, setiap pengurusan dibuat mengikut prosedur ditetapkan hospital dan pihak berkuasa sebelum jenazah diserahkan kepada Amal Team untuk disempurnakan.














