ROBOTIK merupakan bidang dengan gabungan ilmu kejuruteraan, teknologi, pengaturcaraan (coding) dan reka bentuk bagi menghasilkan mesin atau sistem yang mampu beroperasi secara automatik.
Pada masa kini, minat terhadap robotik semakin berkembang dalam kalangan generasi muda selaras dengan kemajuan pesat dunia teknologi digital.
Bagi seorang remaja, Krishram Muruga Annanthan, 17, minat terhadap bidang robotik bermula sejak usia tujuh tahun selepas dia tertarik melihat mesin basuh yang berputar dan mula tertanya-tanya bagaimana ia berfungsi.
“Saya memang seorang yang memiliki rasa ingin tahu yang sangat kuat. Waktu kecil dulu, saya lihat mesin basuh berfungsi, dan saya tertanya-tanya cara ia boleh bergerak seperti itu.
“Bermula dari situ, saya mula ingin mengetahui lebih banyak tentang dunia robotik. Kebetulan, sekolah rendah saya menawarkan kelas robotik, jadi saya terus menyertainya,” katanya kepada K-Remaja.
Pertandingan pertama yang disertai oleh ialah World Robot Competition (WRC) peringkat Kuala Lumpur ketika di berusia 12 tahun.
Walaupun tidak berjaya meraih kedudukan terbaik, namun pengalaman itu menjadi pembakar semangat untuk terus meningkatkan kemahirannya dalam bidang robotik dan pengaturcaraan.

Cabaran terbesar hadir apabila pandemik Covid-19 melanda, di mana segala aktiviti robotik terhenti. Namun, anak kelahiran ibu kota itu enggan membiarkan minatnya terkubur.
Dengan sokongan ibu bapa, dia dapat mengikuti kelas robotik dan pengaturcaraan secara dalam talian, selain mengasah kemahiran menggunakan kit Lego EV3 yang dihadiahkan kepadanya.
Usaha kerasnya membuahkan hasil apabila dipilih mewakili Malaysia ke International Robot Contest (IRC) 2024 di Korea Selatan dalam kategori Robo-Basketball. Dalam pertandingan itu, Krishram bertanggungjawab menulis kod pengaturcaraan robot serta membantu proses pembinaan bersama dua lagi rakan sepasukan.
Mereka berjaya meraih tempat ketiga di peringkat itu. Selepas kejayaan di Korea Selatan, Krishram terus mengukir pelbagai pencapaian membanggakan apabila meraih tempat keempat dalam WRC peringkat Kuala Lumpur.
Dia juga muncul naib juara National Robotics Competition, serta memperoleh tempat kedua dalam pertandingan Mikrobotik pada tahun lalu.
Pada tahun ini, anak tunggal itu turut membawa pulang pingat perak dalam Terengganu International Science Fair (TISL) bagi kategori inovasi.
Walaupun aktif menyertai pertandingan, namun pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bintang Selatan, Kuala Lumpur itu tidak pernah mengabaikan pelajaran, lebih-lebih lagi apabila berada di tingkatan lima.
“Bagi saya, akademik tetap menjadi keutamaan. Saya mengulang kaji mengikut topik terlebih dahulu sebelum meluangkan masa untuk robotik.
“Aktiviti ini juga membantu saya mengurangkan tekanan serta mengelakkan keletihan mental akibat belajar.
“Saya bercita-cita untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik di Nanyang Technological University (NTU), Singapura.
“Saya percaya, robotik merupakan bidang yang akan terus berkembang seiring kemajuan teknologi,” katanya.














