DALAM kesibukan mengejar tuntutan kerja, menempuh kesesakan jalan raya, membalas mesej dan menyempurnakan pelbagai tanggungjawab harian, ramai rakyat Malaysia seakan-akan terlupa untuk berhenti sejenak serta menikmati kehidupan.
Budaya menggalakkan masyarakat untuk terus bergerak ke hadapan menyebabkan ramai terperangkap dalam rutin melelahkan sehingga tidak lagi menghargai detik-detik kecil yang sebenarnya membawa makna dan kegembiraan.
Menyedari realiti tersebut, jenama air botol terkemuka negara, Spritzer tampil dengan kempen baharu bertemakan ‘Arus Membawa Kegembiraan.’
Kempen itu diinspirasikan oleh satu prinsip mudah, namun cukup bermakna iaitu kehidupan akan terasa lebih ringan apabila dilalui dengan tenang, jelas dan ceria.
Selama lebih 30 tahun, Spritzer menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian rakyat Malaysia.
Dari meja makan keluarga dan pantri pejabat hinggalah ke dalam beg gimnasium, kantin sekolah serta ketika dalam perjalanan, jenama itu sentiasa hadir menemani pelbagai detik dalam rutin harian masyarakat.
Namun, apabila kehidupan menjadi semakin sibuk dan mencabar, Spritzer mula melihat peranannya melangkaui sekadar membantu rakyat Malaysia kekal terhidrat.
Kempen ‘Arus Membawa Kegembiraan’ lahir sebagai respons terhadap tekanan emosi yang semakin biasa dialami oleh masyarakat hari ini, termasuk stres, keletihan melampau dan tuntutan kerja tidak berkesudahan.
Ketua Pemasaran Spritzer Malaysia, Shiao Chan berkata, syarikat itu menyedari ramai individu sentiasa berusaha memenuhi tanggungjawab masing-masing dan terus bergerak ke hadapan, namun berdepan keletihan emosi yang semakin meningkat.
“Di Spritzer, kami menyedari bahawa ramai orang sentiasa berusaha untuk memenuhi tanggungjawab masing-masing dan terus bergerak ke hadapan.
“Walaupun kelihatan tabah, namun dari segi emosi, mereka sebenarnya semakin penat.
“Pada masa ini, ramai yang berasa sangat tertekan kerana perlu sentiasa produktif, bersedia dan menggalas lebih banyak tanggungjawab.

“Kesibukan yang dialami menghalang mereka daripada benar-benar menikmati kehidupan yang dilalui,” katanya.
Menurut Chan, kempen tersebut bertujuan mengingatkan orang ramai bahawa kegembiraan tidak semestinya datang daripada pencapaian besar atau kejayaan luar biasa, sebaliknya boleh ditemui dalam perkara-perkara sederhana yang sering terlepas pandang.
“Itulah teras di sebalik kempen ‘Arus Membawa Kegembiraan’. Kami mahu mencipta sesuatu yang dapat mengingatkan rakyat Malaysia bahawa kegembiraan tidak hanya hadir melalui kejayaan besar.
“Kadangkala, ia wujud dalam detik-detik sederhana yang sering terlepas pandang, seperti berjalan di luar, perbualan bermakna, berehat sejenak atau sekadar menarik nafas panjang. Semua perkara ini juga amat bermakna,” katanya.
Berbanding menggalakkan perubahan gaya hidup yang drastik atau mengejar standard kesejahteraan sukar dicapai, kempen tersebut memilih pendekatan yang lebih santai dan realistik.
Fokus utama adalah untuk menggalakkan masyarakat menjalani kehidupan dengan lebih tenang serta menghargai detik-detik istimewa yang hadir dalam rutin harian.
Chan berkata, Spritzer mahu memainkan peranan yang lebih bermakna dalam kehidupan pengguna, selain menawarkan produk berkualiti.
“Menjadi jenama minuman nombor satu di Malaysia bukanlah matlamat utama bagi kami. Kami telah berusaha selama beberapa dekad untuk menjadi sebahagian daripada rutin harian rakyat Malaysia.
“Kini, kami mahu Spritzer menjadi sebahagian daripada sesuatu yang lebih bermakna dengan membantu orang ramai menjadi lebih ceria, lebih peka, lebih terhubung dan lebih gembira,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada kempen tersebut, Spritzer turut memperkenalkan sebuah filem sinematik baharu dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Mandarin.
Diinspirasikan oleh aktiviti harian seperti bergerak, berehat, berefleksi dan beramah mesra, filem itu mengajak masyarakat untuk memperlahankan rentak kehidupan serta menghargai perkara-perkara biasa yang sering dianggap remeh.
Dalam dunia yang semakin pantas bergerak, ‘Arus Membawa Kegembiraan’ hadir sebagai satu peringatan bahawa kehidupan bukan sekadar tentang mengejar destinasi.
Sebaliknya, kegembiraan juga boleh ditemui apabila seseorang memberi ruang untuk berhenti seketika, menikmati perjalanan dan menghargai setiap detik yang dilalui.














