PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang permohonan atau tawaran berkaitan urusan perolehan kerja, pembekalan mahupun perkhidmatan menerusi aplikasi media sosial dan e-mel tidak rasmi.
MetMalaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, penafian itu dibuat susulan aduan yang diterima berhubung cubaan menipu oleh pihak tertentu yang menyamar sebagai pegawai jabatan tersebut.
Menurutnya, pihak tidak bertanggungjawab berkenaan dikesan menawarkan urusan perolehan, pembekalan dan perkhidmatan yang sebenarnya tidak wujud menggunakan platform seperti WhatsApp, Telegram dan e-mel peribadi.
“MetMalaysia memandang serius perkara ini dan ingin menegaskan bahawa jabatan tidak pernah mengeluarkan sebarang permohonan atau tawaran berkaitan perkara tersebut melalui aplikasi media sosial.
“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat berhubung perkara ini. Orang ramai yang telah menjadi mangsa atau menerima permohonan mencurigakan menggunakan nama MetMalaysia juga disaran segera membuat laporan polis bagi membantu siasatan,” katanya hari ini.
Jelasnya, semua urusan perolehan rasmi MetMalaysia hanya dilaksanakan secara sah melalui sistem ePerolehan mengikut tatacara dan peraturan perolehan kerajaan yang berkuat kuasa.
Justeru itu katanya, orang ramai, syarikat serta pembekal dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan membuat semakan terlebih dahulu terhadap kesahihan sebarang tawaran yang dikaitkan dengan MetMalaysia.
“Sebarang pertanyaan atau pengesahan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Unit Perolehan MetMalaysia melalui saluran rasmi jabatan,”. – KOSMO! ONLINE














