JAKARTA – Gara-gara cemburu, seorang anggota polis di wilayah Sumatera Utara bertindak di luar kawalan dengan mengejar dan merempuh sebuah kenderaan lain dalam kejadian tular di media sosial, lapor portal berita Lambe Turah.
Insiden berlaku di Jalan Karya Wisata, kota Medan yang melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova dan sebuah SUV Honda CR-V, baru-baru ini.
Menurut pihak berkuasa, anggota polis memandu Toyota Innova tersebut bertindak demikian kerana menyangka isterinya berada di dalam kereta Honda CR-V terbabit bersama lelaki lain.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tersebar luas menunjukkan dia berulang kali merempuh belakang dan sisi CR-V di tengah-tengah laluan yang sibuk.
Aksi berbahaya itu berlaku ketika waktu puncak, menyebabkan suasana cemas dalam kalangan pengguna jalan raya.
Ketua Bidang Hubungan Masyarakat Polis Daerah Sumatera Utara, Ferry Walintukan mengesahkan pihaknya menerima aduan rasmi pemandu CR-V terbabit yang dikenali sebagai LH.
Hasil siasatan polis mendapati semua tindakan agresif anggotanya hanyalah berpunca daripada salah faham dan cemburu buta.
Wanita yang berada di dalam kereta bersama LH disahkan langsung tiada kaitan dengan anggota polis berkenaan.
“Selepas siasatan lanjut dijalankan, wanita yang berada di dalam kenderaan bersama pengadu ternyata bukan isteri anggota terbabit,” kata Ferry. – AGENSI














