PORT DICKSON – Selepas seminggu diburu, seekor buaya sepanjang tiga meter dengan anggaran berat 300 kilogram (kg) berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan di Kuala Lukut, di sini hari ini.
Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, reptilia yang belum dipastikan jantina itu ditangkap pada pukul 1.42 tengah hari selepas pihaknya menerima aduan pada pukul 1.20 pagi, 23 Jun lalu.
“Kita terpaksa keringkan tali air untuk menangkap buaya tersebut. Pada masa itu, buaya terebut tidak terlalu agresif berkemungkinan kerana sudah penat.
“Buaya itu dipindahkan ke fasiliti Jabatan Perhilitan di Paya Indah Wetland, Dengkil, Selangor untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Kosmo! pada Selasa lalu melaporkan penduduk Kampung Nelayan Kuala Lukut hidup bimbang selepas kelibat seekor buaya dipercayai mendiami kawasan muara sungai berhampiran perkampungan berkenaan. – KOSMO! ONLINE














