SUATUmasa nanti, kanser dapat dikenal pasti sebelum tubuh mula menunjukkan tanda-tanda penyakit, sebelum kesakitan dirasai dan sebelum rawatan intensif menjadi satu keperluan.
Senario ini yang satu ketika dahulu kelihatan seperti fiksyen sains kini semakin menghampiri realiti hasil kemajuan pesat dalam bidang bioperubatan.
Di tengah-tengah transformasi ini, biomarker muncul sebagai salah satu inovasi yang berpotensi mengubah landskap pengesanan awal kanser secara menyeluruh.
Kanser masih menjadi antara punca utama kematian di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Setiap tahun, ribuan individu menerima diagnosis bagi pelbagai jenis kanser seperti kanser payudara, kolorektal, paru-paru dan prostat.
Menurut Pensyarah Kanan dan penyelidik bioperubatan di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Ts. Dr. Rabiatul
Basria S. M. N. Mydin, cabaran utama yang sering dihadapi ialah ramai pesakit hanya mengetahui keadaan mereka apabila penyakit telah memasuki peringkat yang lebih serius.
“Pada tahap ini, pilihan rawatan menjadi lebih terhad, kos rawatan meningkat dan peluang pemulihan turut menurun.
“Atas sebab itu, pengesanan awal dianggap sebagai faktor kritikal dalam meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit,” katanya kepada K-Tekno menerusi emel baru-baru ini.
Tambahnya, semakin awal sesuatu kanser dikenal pasti, semakin tinggi peluang untuk rawatan yang lebih berkesan serta pemulihan yang lebih baik.
Dalam usaha mencapai matlamat ini, biomarker dilihat sebagai antara pendekatan paling menjanjikan.
Kongsinya lagi, secara asasnya, biomarker ialah penanda biologi yang boleh ditemui dalam sampel seperti darah, air liur, air kencing atau tisu badan.

“Kehadiran biomarker tertentu boleh memberikan petunjuk bahawa terdapat perubahan biologi yang berkaitan dengan penyakit di dalam tubuh seseorang.
“Dalam bidang onkologi, biomarker bertindak sebagai ‘amaran awal’ yang membantu doktor mengenal pasti kemungkinan kewujudan kanser sebelum gejala klinikal mula kelihatan,” ujarnya.
Katanya lagi, antara biomarker yang kini giat dikaji termasuk DNA tumor beredar atau circulating tumour DNA (ctDNA), mikroRNA (miRNA), protein tertentu dan vesikel ekstraselular.
Walaupun istilah ini kedengaran kompleks, matlamat utamanya cukup jelas iaitu meningkatkan keupayaan untuk mengesan kanser dengan lebih awal dan lebih tepat.
Kemajuan teknologi turut mempercepatkan penggunaan biomarker dalam amalan perubatan moden. Salah satu pendekatan yang semakin mendapat perhatian ialah biopsi cecair atau liquid biopsy.
“Berbanding biopsi konvensional yang memerlukan pengambilan sampel tisu melalui prosedur invasif tetapi biopsi cecair hanya memerlukan sampel darah untuk dianalisis.
“Kaedah ini bukan sahaja lebih selesa untuk pesakit, malah membolehkan pemantauan dilakukan dengan lebih kerap,” tambahnya.
Pada masa yang sama, teknologi penjujukan generasi baharu (next-generation sequencing, NGS) serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) membuka ruang kepada analisis data genetik yang lebih pantas dan mendalam.
AI membantu mengenal pasti corak biomarker yang kompleks bagi meningkatkan ketepatan diagnosis dan mempercepat proses membuat keputusan klinikal. Lebih menarik lagi, penyelidik kini sedang meneroka kemungkinan untuk mengesan pelbagai jenis kanser melalui hanya satu ujian darah.
“Sekiranya teknologi ini berjaya diaplikasikan secara meluas, ia berpotensi merevolusikan sistem saringan kesihatan pada masa hadapan.
“Namun begitu, kemajuan teknologi sahaja tidak mencukupi. Keberkesanan biomarker bergantung kepada penyelidikan yang melibatkan kepelbagaian masyarakat,” katanya.
Ujarnya lagi, faktor seperti umur, jantina, latar belakang genetik, etnik dan persekitaran boleh mempengaruhi ciri biomarker seseorang.
Oleh itu, kajian yang inklusif amat penting supaya hasil penyelidikan benar-benar relevan kepada seluruh populasi.
Selain itu, isu akses kepada teknologi kesihatan moden turut memerlukan perhatian. Kos ujian biomarker yang masih tinggi dan kemudahan diagnostik yang tertumpu di kawasan bandar boleh mewujudkan jurang dalam pengesanan awal penyakit.
Maka, pelaburan dalam penyelidikan tempatan, pembangunan infrastruktur dan peningkatan kesedaran masyarakat perlu bergerak seiring.
Rabiatul Basria menjelaskan, biomarker bukan sekadar alat diagnostik. Ia mewakili perubahan besar ke arah sistem penjagaan kesihatan yang lebih proaktif, tepat dan kurang invasif.
“Dalam perjuangan menentang kanser, setiap hari yang diperoleh melalui diagnosis awal boleh membawa perbezaan yang besar.
“Biomarker mungkin menjadi antara harapan terbesar bagi masa depan yang lebih sihat,” ujarnya.














