SIK – Sepasang suami isteri nyaris maut apabila mengalami muntah dan cirit-birit yang teruk selepas termakan cendawan beracun yang dikutip berhampiran rumah mereka di Rancangan Tanah Pinggir Padang Besar, Mukim Jeneri, di sini semalam.
Pasangan berusia 28 tahun itu dikejarkan ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Cendawan berkenaan yang tumbuh pada tunggul kayu ditemukan pasangan itu ketika mereka sedang memotong rumput berhampiran kandang lembu di situ.
Pengerusi Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM), Mahadzir Abd. Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 4 petang semalam.
“Anggota BSYJM bergegas ke lokasi dan mendapati pasangan suami isteri itu dalam keadaan lemah dan tidak bermaya akibat muntah serta cirit-birit.
“Mereka berada di dalam bilik air dan tidak dapat bangun, manakala keadaan rumah mereka dipenuhi muntah serta sisa najis. Kami terus bertindak menyelamatkan mereka,” katanya di sini hari ini.
“Operasi menyelamat agak sukar kerana kedua-dua mangsa mempunyai berat badan kira-kira 150 kilogram dan kami terpaksa menggunakan enam anggota penyelamat untuk mengangkat mereka ke dalam dua ambulans,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














