fbpx
Asyraf Wajdi.

Bekas askar masuk MRSM bermula Rabu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seramai 16 bekas anggota tentera akan melapor diri sebagai warden sepenuh masa di lapan buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bermula Rabu ini.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelantikan bekas anggota pertahanan itu merupakan antara langkah pihaknya dalam memperkukuh disiplin pelajar dan  membanteras gejala buli di institusi berkenaan.

Menurut beliau, antara MRSM yang terlibat dalam pelaksanaan fasa awal ialah MRSM Muar, Johor.

Katanya, pelaksanaan itu merupakan kesinambungan projek rintis yang dimulakan di MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang pada 18 Oktober tahun lalu.

“Pada 1 Julai (Rabu) ini warden-warden sepenuh masa bekas tentera mula melapor diri di lapan MRSM terpilih termasuk MRSM Muar. Setiap MRSM akan ditempatkan empat warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera iaitu dua lelaki dan dua wanita.

“Pelaksanaan di semua 58 MRSM pula dijadualkan bermula pada 1 Januari 2027. Diharapkan selepas ini tiada lagi kedengaran kes-kes buli selain meningkatkan tahap disiplin pelajar,” katanya menerusi hantaran di Facebook pagi ini.

Beliau berkata, seramai 32 warden akan ditempatkan di lapan MRSM terpilih, namun fasa pertama hanya melibatkan 16 warden lelaki, manakala pelantikan warden wanita akan dibuat selepas proses saringan selesai.

Tambahnya, proses pemilihan dikendalikan oleh anak syarikat Mara, Glokal Link Sdn. Bhd. (GLSB) dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Menengah Mara, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), TalentCorp dan Seksyen Psikologi dan Kaunseling Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, sesi ujian fizikal diadakan pada 15 dan 16 Jun lalu di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara, Kepong dengan kehadiran seramai 147 calon termasuk 139 lelaki.

“Pemilihan bukan hanya temu duga semata-mata, sebaliknya calon perlu melepasi beberapa peringkat saringan termasuk ujian psikometrik MyNext OCEAN dan RIASEC, ujian psikologi ketenteraan, saringan kesihatan mental, pemeriksaan indeks jisim badan (BMI), ‘bleep test’ serta temu duga panel pelbagai agensi.

“Penilaian psikologi turut memberi penekanan terhadap aspek perlindungan kanak-kanak, kawalan impuls, batas profesional, integriti dan indikator risiko salah laku seksual,” katanya.

Beliau berkata, calon juga menjalani tapisan awal JHEV dan TalentCorp bagi memastikan hanya veteran yang tamat perkhidmatan secara terhormat dan tiada rekod salah laku akan dipertimbangkan.

Selain itu, katanya, GLSB akan melengkapkan semakan prapelantikan termasuk rekod jenayah melalui Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan disiplin sebelum sebarang surat tawaran dikeluarkan.

“Malah calon akhir akan turut menjalani penilaian bersama pegawai psikologi atau kaunselor ATM termasuk komponen ‘biofeedback’ bagi menilai kesesuaian mereka menjaga pelajar di asrama.

“Prinsip GLSB jelas, tiada surat tawaran akan dikeluarkan selagi semua tapisan penting belum disempurnakan. Hanya calon yang benar-benar layak, bersih, berintegriti dan sesuai menjaga pelajar MRSM akan dipilih,” ujarnya.

Bagi pengambilan warden wanita, seramai 162 permohonan diterima dan ujian secara dalam talian diadakan pada 25 Jun lalu, manakala temu duga fizikal pula dijadualkan pada 2 Julai sebelum lantikan dibuat selepas semua proses tapisan selesai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN