SAUDARA PENGARANG,
Sebelum ini, setiap kali mahu mengeluarkan wang tunai kita pasti mencari mesin teler automatik (ATM) yang sama dengan kad bank dimiliki. Maka, berpusinglah mencari mesin ATM kerana tidak mahu dikenakan caj RM1.
Bagaimanapun, bermula 1 Julai ini, setiap pengeluaran di mana-mana ATM atau mesin kitar semula pintar (SRM) tidak lagi dikenakan caj RM1.
Berita gembira itu diumumkan oleh Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) pada 15 Jun lalu.
Menerusi pengumuman itu, pemegang kad debit di Malaysia boleh mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara tanpa mengira bank pengeluar kad mereka dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.
Kali terakhir caj RM1 dimansuhkan sementara ketika pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia. Namun, ia teruskan semula apabila negara berada dalam fasa pemulihan pasca Covid-19.
Sejajar dengan keputusan itu, ia memberi satu kelegaan kerana mana-mana ATM juga boleh keluarkan duit tanpa caj. Bagi sesetengah orang, caj RM1 ini nampak sedikit tetapi implikasinya amat besar.
Benar ketika ini ramai menggunakan ‘online’, namun masih ada yang cenderung menggunakan wang tunai termasuk warga emas. Keadaan ini melegakan mereka dan mengurangkan rasa terbeban untuk mengeluarkan duit.
Keadaan ini lebih bermanfaat apabila satu ATM itu sesak dengan pelanggan, kita boleh menggunakan perkhidmatan ATM lain tanpa risau caj RM1.
QASEH
Nilai, Negeri Sembilan














