Alumni bidang Reka Bentuk Kejuruteraan Pembuatan dari Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Kuantan, Muhammad Imran kini merupakan jurutera pelatih di syarikat gergasi Tesla Giga Factory Berlin di Jerman.

Dari KKTM Kuantan ke Tesla Berlin, jejaka ini buktikan kejayaan aliran TVET

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GRADUAN Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus diiktiraf kerana kebolehan praktikal mereka yang menjadi keperluan utama industri, termasuk di luar negara.

Apa yang dipelajari di Malaysia bukan sekadar teori tetapi kemahiran yang boleh diaplikasikan, dibina dan diterjemahkan dalam dunia pekerjaan sebenar.

Dari Kuantan ke Tesla Berlin, itulah perjalanan luar biasa seorang anak muda negara, Muhammad Imran Mohd. Fadzillah, 25.

Dia kini mengorak langkah sebagai jurutera pelatih di syarikat gergasi Tesla Giga Factory Berlin di Jerman melalui program perantisan (apprenticeship).

Menurutnya, dia menyertai German Apprenticeship Scholarship Program (GASP) yang dianjurkan oleh agensi konsultasi StudyGermany dengan sokongan penuh daripada Bahagian Kemahiran dan Teknikal Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Alumni bidang Reka Bentuk Kejuruteraan Pembuatan tahun 2019 dari Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Kuantan, Pahang itu membuktikan bahawa laluan TVET mampu membuka pintu besar ke pentas dunia, sekali gus mengubah persepsi masyarakat terhadap pendidikan kemahiran.

MUHAMMAD IMRAN (kiri) bersama rakan seperjuangannya yang juga berasal dari Malaysia dan sama-sama mengikuti program GASP di Jerman.

Berkongsi lanjut mengenai program perantisan yang diikutinya kini, ia mengambil masa antara dua hingga tiga tahun bermula 2025.

“Tempoh ini lebih panjang berbanding perantisan domestik biasa kerana ia melibatkan komitmen belajar bahasa Jerman dan mendalami teori.

“Selain itu, saya perlu mengikuti latihan praktikal industri secara intensif sebelum melayakkan seseorang pelatih itu diserap terus sebagai tenaga kerja mahir,” katanya kepada K-Kampus.

Jelas Muhammad Imran, program yang diukutinya menggabungkan kerja praktikal di kilang Tesla dan pembelajaran teori di sekolah vokasional Jerman.

Menurut anak muda kelahiran Johor Bahru, Johor dan menetap di Sepang, Selangor ini, dengan sokongan tajaan serta bimbingan daripada StudyGermany, dia mampu pergi jauh.

“Saya akui pernah berdepan rasa kurang yakin, namun kekuatan kemahiran praktikal menjadi titik tolak perjalanan sampai ke saat ini. Apa yang kita belajar di sini adalah sesuatu yang boleh kita pegang, kita bina dan cipta.

“Jangan rasa rendah diri, kerana kemahiran praktikal adalah aset paling berharga di pasaran kerja,” katanya.

Tambahnya, TVET bukan sekadar pilihan kedua tetapi laluan yang mampu menjamin masa depan cerah jika dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Muhammad Imran turut menyeru generasi muda agar berani melangkah keluar dari zon selesa dan tidak jangan sesekali memandang rendah terhadap laluan TVET.

“Graduan TVET Mara khususnya tidak hanya cemerlang dalam negara, malah kita semua mampu berdiri sama tinggi dengan tenaga kerja global di pentas antarabangsa.

“Insya-Allah lebih ramai graduan berkemahiran tinggi akan terus dilahirkan untuk menyumbang kepada pembangunan industri dan menjulang nama Malaysia di mata dunia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN