fbpx

Lakar sejarah himpun 17,000 penonton, Hujan raih pengiktirafan MBOR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kumpulan rock indie, Hujan mengukuhkan legasi apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi kategori Jumlah Penonton Tertinggi Bagi Konsert Solo Band Indie hasil kejayaan menghimpunkan lebih 17,000 peminat di Konsert Hujan XX: Hujan 20 Tahun.

Pengiktirafan diberikan sempena penganjuran konsert ulang tahun ke-20 band dianggotai Noh, AG, Am dan Izzat yang berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil, malam tadi.

Vokalisnya, Noh Salleh menzahirkan penghargaan kepada peminat tegar mereka yang menjadi sebahagian daripada sejarah perjalanan Hujan.

“Dari budak kampung main muzik kami tak sangka dapat mengumpulkan anda semua di Stadium Hoki Bukit Jalil malam ini.

“Kita bukan meraikan Hujan tapi meraikan anda. Hujan tak mampu balas budi anda semua kecuali buat ‘show’ macam ini,” katanya selepas penyampaian plak.

Majlis penyerahan sijil MBOR disempurnakan wakil badan itu, Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah, Edwin Yeoh dan Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi bersama penganjur juga pengasas Icon Entertainment, Iman Tang.

Secara tidak langsung, kehadiran 17,000 peminat setia yang menggelarkan diri mereka sebagai  Raingers membuktikan pengaruh band tersebut yang kekal relevan sepanjang dua dekad mewarnai industri muzik tempatan.

Sementara itu, Iman berterima kasih  kepada MBOR atas pengiktirafan tersebut dan seluruh peminat Hujan yang menjadi sebahagian daripada detik bersejarah terbabit.

Iman berkata, pencapaian diraih  membanggakan band tersebut sekali gus membuktikan mereka sebagai kumpulan indie tempatan yang mampu menghimpunkan puluhan ribu penonton dalam sebuah konsert berskala mega.

“Kenapa Icon Entertainment pilih Hujan. Ini kerana mereka merupakan band indie lokal terbesar di dekad ini.

“Terima kasih kepada semua Raingers yang datang bagi sokongan. Rekaan Hujan XX bawa makna Hujan 30 tahun kita ke Stadium Nasional Bukit Jalil. Itu pun kalau Hujan sudi,” katanya selepas penyerahan plak MBOR.

Konsert Hujan XX: Hujan 20 Tahun juga menjadi simbol perjalanan seni band itu sepanjang 20 tahun menerusi deretan karya ikonik serta hubungan erat antara Hujan dan Raingers.

Menerusi konsert yang berlangsung hampir lebih tiga jam itu, sebanyak 45 dendangan diperdengarkan termasuk Gundah, Ahmoi Chantek, Kamar Sepi, Bahagia, Rahsia Tuhan, Ku Mahu Kau Tahu, Bila Aku Sudah Tiada dan Pagi Yang Gelap.

Menambahkan kehangatan,  Fynn Jamal, Monoloque, Yuna dan Datuk M. Nasir turut mengisi pentas sebagai penyanyi undangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN