KUALA LUMPUR – Seramai 120 ibu tunggal yang menjaga 60 anak yatim di Kampung Budun, Patani, Thailand dijangka menikmati kehidupan lebih baik menerusi pembinaan Rumah Padi Anak Yatim Budun.
Fasiliti itu yang bakal menjadi pusat pemprosesan, penyimpanan dan pembungkusan hasil padi komuniti itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ihsanku Malaysia, Syariffuddin Supeni berkata, projek itu dilancarkan bagi membantu komuniti berkenaan keluar daripada kebergantungan kepada pihak luar yang selama ini mengenakan caj pemprosesan tinggi sehingga menjejaskan pendapatan mereka.
“Kempen yang berlangsung dari Jun 2026 hingga Jun 2027 itu bukan sekadar membina sebuah bangunan, sebaliknya mewujudkan sistem ekonomi yang mampu menjamin kelangsungan hidup ibu tunggal dan anak-anak yatim.
“Rumah Padi Anak Yatim Budun adalah projek maruah. Kita mahu ibu tunggal di kampung ini tidak lagi terpaksa menjual padi mentah pada harga rendah atau bergantung kepada pihak luar yang mengenakan caj tinggi,” katanya.
Menurut beliau, kemudahan itu membolehkan hasil padi diproses, disimpan dan dipasarkan sendiri oleh komuniti sekali gus meningkatkan nilai jualan beras serta mengurangkan kerugian akibat banjir.
Katanya, projek itu akan dilaksanakan secara berfasa bermula dengan pembinaan Rumah Padi sebelum pemasangan mesin pemprosesan, pembungkusan beras dan seterusnya pemasaran hasil pertanian.
Sementara itu, Pengurus Projek Ihsanku, Ustaz Luqman Hakim berkata, pendekatan tersebut memastikan keseluruhan rantaian pengeluaran beras dapat diurus secara tersusun sehingga mampu menjana pendapatan berterusan kepada komuniti.
“Setiap sumbangan yang diberikan akan membantu komuniti ini memproses, menyimpan, membungkus dan menjual hasil padi mereka dengan lebih adil serta tersusun,” katanya.
Rumah Padi itu akan dibina di atas tapak seluas satu ekar secara sewaan dengan bangunan berukuran 20 kaki x 60 kaki yang turut dilengkapi mesin pemprosesan serta kemudahan penyimpanan.
Projek berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Civil Society Associated for Peace (CAP) sebagai rakan strategik lapangan bagi memastikan pengurusan projek berjalan secara telus dan memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk.-KOSMO! ONLINE














