fbpx
Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan titah ucapan pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Taulian Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tahun 2026 di Kem Perdana Sungai Besi hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

Jangan sekali-kali makan rasuah – Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diingatkan supaya tidak terlibat dengan rasuah atau meletakkan kepentingan diri melebihi daripada negara.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, setiap pegawai yang memulakan kerjaya dalam ATM perlu memimpin dengan bijaksana, adil serta menjadi contoh terbaik kepada anggota bawahan.

“Saudara dan saudari akan memulakan kerjaya sebagai seorang pegawai tentera yang menuntut kekuatan fizikal, akal fikiran, disiplin dan pengorbanan yang tinggi. Ingat, tiada anggota tentera yang buruk, yang ada hanyalah pemimpin yang tidak baik.

“Awak semua adalah tonggak Angkatan Masa Hadapan. Oleh itu, jangan sekali-kali makan rasuah, malas bekerja atau meletakkan kepentingan diri sendiri lebih tinggi daripada kepentingan tanah air,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Ibrahim menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet ATM Tahun 2026 di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.

Sultan Ibrahim turut bertitah, kerajaan perlu memberi keutamaan terhadap perolehan aset dan peralatan pertahanan berteknologi terkini serta menyokong struktur baharu ATM bagi merealisasikan konsep Angkatan Masa Hadapan.

Titah baginda, angkatan yang bakal dibentuk hendaklah menjadi sebuah pasukan yang lebih bersepadu dan berupaya menghadapi peperangan generasi kelima.

Menurut baginda, landskap keselamatan global dan serantau kini berubah dengan pantas, selain doktrin pertahanan turut mengalami perubahan seiring perkembangan teknologi, sekali gus menuntut transformasi strategik terhadap ATM.

“Sudah pasti setiap perubahan memerlukan anjakan yang radikal. Namun demikian, Angkatan Masa Hadapan adalah suatu keperluan strategik yang wajar dilaksanakan.

“Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan supaya memberi keutamaan dalam perolehan peralatan berteknologi tinggi dan menyokong struktur baru ATM,” titahnya.

Dalam isitiadat berkenaan, seramai 566 Pegawai Kadet ATM membabitkan 466 lelaki dan 100 wanita ditauliahkan sebagai Leftenan Muda.

Daripada jumlah itu, 438 pegawai menyertai Tentera Darat Malaysia (373 lelaki, 65 wanita), 111 pegawai menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia (97 lelaki, 14 wanita) manakala 117 lagi menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia (96 lelaki, 21 wanita).

Daripada keseluruhan pegawai yang ditauliahkan, seramai 205 merupakan graduan ALK, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Seramai 361 lagi pegawai ialah lepasan ijazah dari universiti tempatan dan luar negara yang menjalani latihan di Akademi Tentera Darat (ATD), Kapal Diraja Sultan Idris I (KDSI I) dan Kolej Tentera Udara-Sekolah Latihan Pegawai (KTU-SLP). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN