KUALA LANGAT – Pengusaha perkhidmatan parkir jangka panjang di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang berdepan detik getir apabila terpaksa memindahkan kira-kira 100 buah kereta bagi mengelak ditenggelami banjir akibat ban pecah, kelmarin.
Operasi pemindahan mengambil masa hampir 14 jam menggunakan beberapa lori tunda sejak awal pagi hingga lewat malam bagi menyelamatkan semua kenderaan milik pelanggan yang diletakkan di kawasan itu bagi tujuan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pengusaha RTB Carpark, Azri berkata, dia terpaksa membelanjakan hampir RM20,000 bagi menggerakkan lapan lori tunda dalam usaha menyelamatkan 74 kereta di kawasan parkirnya.
“Syukur semua kereta dapat diselamatkan. Kita mula pukul 8 pagi dan selesai kira-kira pukul 10 malam. Ini sebahagian pelan kecemasan kami.
“Setiap pelanggan dimaklumkan secara berterusan ketika proses pemindahan dilakukan ke kawasan lebih tinggi dan selamat,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata, kerjasama penduduk kampung yang membenarkan kawasan kompaun bertutup dijadikan lokasi sementara turut memudahkan urusan memindahkan kenderaan.
Sementara itu, seorang lagi pengusaha yang enggan dikenali mengakui bimbang berdepan pertikaian dengan pelanggan selepas beberapa kenderaan tidak sempat dipindahkan ekoran paras air yang naik terlalu cepat.
Dia yang baharu dua tahun mengusahakan perniagaan itu hanya sempat memindahkan 20 buah kereta.
“Air naik setinggi satu meter di lokasi ini dan sembilan lagi kenderaan gagal dipindahkan ekoran lori tunda tidak dapat masuk,” katanya.
Kosmo! kelmarin melaporkan Kampung RTB Bukit Changgang tidak ubah seperti dikepung apabila hampir semua kawasan dinaiki air susulan ban pecah.
Kecurian kabel pada pam air di lokaliti tersebut menyebabkan peralatan itu gagal berfungsi seterusnya menambah derita penduduk.
















