KUALA LUMPUR – Sebanyak enam premis makanan di Jalan Alor, Bukit Bintang diarah tutup selepas gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan dalam Operasi Gelap Gempur Khas, semalam.
Operasi dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Kementerian Kesihatan (KKM) menyaksikan 45 premis makanan diperiksa dengan 74 notis dan kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
DBKL memaklumkan, antara kesalahan yang dikesan ialah kegagalan menjaga kebersihan premis, tidak memasang atau menyelenggara perangkap minyak, kehadiran lipas dan tikus di ruang dapur serta penyimpanan bahan makanan yang tidak mengikut spesifikasi.
Katanya, terdapat pekerja yang gagal mendapatkan suntikan tifoid dan menghadiri kursus pengendalian makanan, di samping melakukan kesalahan berkaitan larangan merokok serta syarat pelesenan.
“Dalam operasi ini juga, enam premis makanan telah diarahkan tutup di bawah Undang-Undang Kecil 28(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016 kerana gagal mematuhi kehendak kebersihan yang ditetapkan,” katanya hari ini.
Menurut DBKL, notis dan kompaun yang dikeluarkan adalah mengikut pelbagai peruntukan termasuk Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan WPKL 2016, Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan Wilayah Persekutuan 1979, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian WPKL 2016 serta Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
“DBKL akan terus memperkukuh usaha penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan premis makanan di ibu kota sentiasa mematuhi undang-undang, sekali gus menjamin kebersihan, keselamatan makanan dan kesejahteraan warga kota,” katanya. – KOSMO! ONLINE














