SHAH ALAM – Management and Science University (MSU) mencatat pencapaian membanggakan apabila melonjak ke kedudukan ke-88 dunia dalam Times Higher Education (THE) Sustainability Impact Ratings 2026.
Pencapaian itu sekali gus merekodkan peningkatan terbaik sejak mula disenaraikan dalam penarafan berprestij itu pada 2021.
MSU dalam kenyataan hari ini berkata pencapaian itu menyaksikan universiti tersebut meningkat daripada kelompok 101-200 dunia pada tahun lalu kepada kedudukan ke-88 pada edisi 2026 selepas memperoleh skor keseluruhan 89.8 peratus.
Menurutnya, penarafan THE Sustainability Impact Ratings merupakan satu-satunya penarafan global yang menilai sumbangan universiti terhadap 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi aspek penyelidikan, pengurusan, jaringan serta pengajaran.
“Bagi edisi kali ini, sebanyak 1,646 universiti dari 116 negara dan wilayah dinilai berdasarkan komitmen serta impak mereka dalam memajukan pembangunan mampan.
“Antara pencapaian terbaik MSU ialah SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat apabila menduduki tangga ke-66 dunia dengan skor 91.6 peratus,” katanya.
Tambah MSU, universitinya itu turut berada di kedudukan ke-29 dunia bagi SDG 4: Pendidikan Berkualiti dengan skor 83.3 peratus.
Lebih membanggakan, MSU turut muncul di kedudukan ketiga dunia bagi SDG 5: Kesaksamaan Jantina dengan skor 82.9 peratus.
“Selain itu, universiti berada di tangga ke-39 dunia bagi SDG 1: Tiada Kemiskinan, manakala SDG 10: Ketidaksamaan Yang Kurang dan SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan masing-masing berada di kedudukan ke-60 dunia.
“MSU turut mencatat prestasi kukuh dalam beberapa lagi indikator apabila SDG 6, SDG 12, SDG 13 dan SDG 14 berada dalam kelompok 101-200 terbaik dunia, manakala SDG 11 dan SDG 15 berada dalam kelompok 201-300 dunia. SDG 7 dan SDG 16 pula berada dalam kelompok 301-400 dunia, diikuti SDG 8 dan SDG 9 dalam kelompok 401-600 dunia,” ujarnya.
MSU berkata, kejayaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam memperkukuh agenda kemampanan melalui pelbagai inisiatif pembangunan lestari di kampus, selain memupuk budaya kecemerlangan, integriti dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga universitinya.
Jelasnya, usaha tersebut turut diperkasakan menerusi penubuhan beberapa pusat kecemerlangan termasuk Centre for Applied Intelligence (CAI), MSU Centre for Climate Resilience & Strategy (m-CREST) dan Centre of Life-Enhancing Eyecare Innovation and Rehabilitation (CLEAR).
“Selain itu turut ditubuhkan pusat kecemerlangan Neuroscience & Mental Well-being Centre (NeuroMIND), MSU Centre for Environmental, Social and Governance (ESG) serta Global One Health Centre (G1).
“Kejayaan ini juga didorong oleh kerjasama erat bersama universiti, industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelbagai pihak berkepentingan dalam merealisasikan matlamat pembangunan mampan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














