DALAS, Amerika Syarikat – Jepun mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Sweden pada aksi terakhir Kumpulan F di Stadium Dallas, sebentar tadi.
Keputusan itu sudah memadai buat skuad Samurai Biru menamatkan saingan selaku naib juara kumpulan dengan lima mata di belakang Belanda yang muncul juara selepas menewaskan Tunisia 3-1 dalam satu lagi aksi perlawanan hari ini.
Jepun membuka tirai jaringan pada minit ke-56 menerusi Daizen Maeda yang tenang menyudahkan hantaran Ritsu Doan untuk menewaskan penjaga gol Sweden, Jacob Widell Zetterstrom.
Namun, kelebihan itu hanya bertahan enam minit apabila Anthony Elanga menyamakan kedudukan menerusi rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan Zion Suzuki.
Sweden kemudian meningkatkan asakan memburu gol kemenangan, namun Suzuki muncul wira Jepun apabila melakukan dua aksi menyelamat cemerlang untuk menafikan percubaan Elanga dan Alexander Isak dalam masa kecederaan.
Anak buah Hajime Moriyasu yang menguasai sebahagian besar permainan berjaya bertahan sehingga wisel penamat bagi memastikan misi mara ke pusingan kalah mati tidak terjejas.
Lebih manis, Jepun bakal membuat persiapan terbaik apabila mereka akan membuat perhitungan dengan juara lima kali dunia, Brazil pada aksi pusingan kalah mati Isnin ini.
Sementara itu, Sweden turut mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati sebagai antara lapan pasukan tempat ketiga terbaik, manakala Tunisia menjadi satu-satunya pasukan Kumpulan F yang tersingkir.
Belanda pula melangkah selaku juara Kumpulan F dengan tujuh mata dan akan berdepan Maghribi pada pusingan kalah mati, sekali gus menjadikan tiga daripada empat pasukan kumpulan itu berjaya meneruskan cabaran. – KOSMO! ONLINE














