fbpx
KOR Ming mengadakan lawatan ke Flat Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru sempena Program Sentuhan Kasih KPKT 4.0.

KPKT salur RM216.44 juta menerusi 42 projek pembangunan di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan berjumlah RM216.44 juta bagi pelaksanaan 42 projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK), Rolling Plan Pertama tahun 2026 di negeri Johor, tahun ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, semua projek pembangunan melibatkan program pembinaan dan penyenggaraan infrastruktur awam, kerja-kerja baik pulih dan naik taraf kemudahan asas, penambah baikan sistem sanitari awam, kajian pelan induk pembangunan bandar serta inisiatif penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam di seluruh Johor.

Katanya, ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memastikan rakyat Johor menikmati akses kepada perumahan berkualiti, kemudahan awam yang selesa serta persekitaran kehidupan yang lebih mampan dan sejahtera.

Menurutnya, peruntukan itu meliputi pelbagai inisiatif strategik termasuk pembangunan perumahan rakyat, penyelenggaraan perumahan strata, kemudahan awam, keselamatan komuniti, pengurusan sisa pepejal, pembangunan bandar dan desa serta program kesejahteraan masyarakat yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat negeri ini.

“Sebagai contoh, flat yang sudah 41 tahun ini merupakan flat terbesar di negeri Johor yang mempunyai lebih 80 blok. Hari ini, kita datang membawa sentuhan kasih apabila memberi nafas baharu dengan membaik pulih dan dicat semula.

“Penduduk di sini mengatakan sudah lebih 30 tahun blok tersebut tidak pernah dicat semula, akhirnya mereka menikmati manfaat yang dibawa oleh kerajaan Madani, ini menunjukkan keikhlasan kita untuk terus berkhidmat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Sentuhan Kasih KPKT 4.0 di Flat Taman Ungku Tun Aminah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, sebahagian besar dana berkenaan disalurkan bagi memperkukuh agenda perumahan rakyat menerusi pelaksanaan program seperti Rumah Malaysia, Program Perumahan Rakyat (PPR), Program Residensi Rakyat (PRR), Pembangunan Perumahan Inklusif Madani (PIM), Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP), Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) dan Program Rumah Mesra Rakyat (RMR).

Katanya, peruntukan itu juga digunakan untuk menaik taraf kemudahan awam dan infrastruktur komuniti termasuk pasar awam, Gerai Madani, sistem perparitan, tandas awam BMW, taman rekreasi, balai bomba serta penyelenggaraan kawasan perumahan.

“Dalam usaha memperkukuh agenda pembangunan mampan, peruntukan turut disalurkan bagi pelaksanaan projek pengurusan sisa pepejal, penutupan selamat tapak pelupusan, pembangunan landskap awam serta penyediaan perancangan pembangunan bandar dan desa yang lebih teratur, mampan dan berdaya tahan.

“KPKT juga meneruskan pelaksanaan Program Baik Pulih Rumah di Bandar, Inisiatif Penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) dan Projek Pembangunan Kampung Baru yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan golongan memerlukan serta memperkukuh perpaduan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata KPKT akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Johor serta pihak berkuasa tempatan bagi memastikan setiap projek dilaksanakan secara cekap, telus dan berimpak tinggi demi manfaat rakyat. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN