SIK – Seramai 144 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara dihantar pulang ke negara masing-masing melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor semalam.
Kesemua PATI yang dipindahkan terdiri daripada 111 lelaki, 32 wanita dan seorang kanak-kanak lelaki dari Myanmar, Bangladesh, China, Nepal, Kenya, Vietnam, Pakistan, India, Kemboja dan Sri Lanka.
Menurut Jabatan Imigresen (JIM) Kedah, paling ramai dihantar pulang ialah warga Myanmar seramai 76 orang, diikuti China (31) dan Bangladesh (18).
“Selain itu, turut dihantar pulang ialah lima warga Pakistan, Kemboja (5), Kenya (2), Vietnam (2), India (2), Nepal (2) dan Sri Lanka (1),” katanya.
Kesemua PATI terbabit sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Belantik, di sini atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Ia termasuk memasuki negara ini tanpa pas atau permit yang dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” ujarnya.
Kesemua warga asing itu selesai menjalani hukuman sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.
“Sebagai langkah penguatkuasaan berterusan, kesemua PATI yang terlibat turut disenarai hitam dalam sistem JIM bagi menghalang kemasukan semula ke negara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














