MELAKA – Sindiket pelaburan saham tidak wujud yang menggunakan taktik berlakon sebagai pelabur kononnya meraih untung untuk ‘memancing’ mangsa tumpas dengan penahanan 31 warga asing di Klebang, di sini, Isnin lalu.
Dalam operasi pada pukul 4.30 petang itu, seramai 30 lelaki warga China dan seorang wanita warga Korea berusia 20 hingga 40 tahun ditahan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu menyasarkan mangsa dari Korea dan China dengan menawarkan pelaburan saham yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
“Bagi meyakinkan mangsa, sindiket mewujudkan kumpulan sembang dianggotai ahli sindiket yang berpura-pura sebagai pelabur berjaya supaya mangsa menambah pelaburan masing-masing.
“Sebagai contoh, dalam satu kumpulan sembang yang mempunyai 10 ahli, hanya seorang mangsa sebenar, manakala sembilan lagi adalah ahli sindiket yang berkongsi cerita kononnya mereka menerima keuntungan lumayan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.
Dzulkhairi berkata, penipuan dilakukan menerusi aplikasi dalam talian dan setiap mangsa akan diserahkan kepada kumpulan-kumpulan yang berbeza.
Katanya, kesemua warga asing tersebut direman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – KOSMO! ONLINE














