PETALING JAYA – Tindakan seorang pemandu kereta Proton Saga mengamuk di tengah jalan sebelum didakwa menyerang seorang pemandu Perodua Myvi di sebuah persimpangan lampu isyarat tular di media sosial.
Video berdurasi kira-kira 15 saat itu dimuat naik di Instagram @Choong8898.
Dalam rakaman itu, memaparkan seorang lelaki berbaju putih yang merupakan pemandu Proton Saga merah keluar dari kenderaannya sebelum menghampiri sebuah Perodua Myvi berwarna biru yang berada di kanannya.
Lelaki berkenaan dilihat menumbuk bahagian depan kereta Myvi beberapa kali sebelum membuka pintu kenderaan tersebut dan menyerang pemandunya, dipercayai akibat perselisihan faham di jalan raya.
Situasi tegang itu bagaimanapun cuba diredakan apabila seorang wanita yang dipercayai isteri kepada pemandu Proton Saga keluar dari kereta sambil mendukung seorang bayi kecil.
Wanita terbabit dilihat memegang dan menenangkan suaminya bagi mengelakkan pergaduhan menjadi lebih buruk, manakala beberapa pengguna jalan raya lain hanya menyaksikan kejadian tersebut dari dalam kenderaan masing-masing.
Rakaman itu turut menunjukkan beberapa barangan dipercayai milik pemandu Myvi bertaburan di atas jalan raya.
Namun, di penghujung video, pemandu Proton Saga dilihat mengutip semula barangan tersebut sebelum menyerahkannya kepada pemandu Myvi.
Sementara itu, di ruangan komen hantaran video berkenaan, seorang individu yang mengaku dirinya merupakan pemandu Proton Saga tampil menjelaskan punca kejadian.
Menurut individu itu, dia bertindak di luar kawalan selepas mendakwa pemandu Myvi memotong secara berbahaya dan masuk rapat ke hadapan kenderaannya ketika dia berada di lorong kanan.
“Dah lah saya bawa bayi kecil. Kalau saya kemalangan tadi macam mana? Dia dah membahayakan saya, isteri dan anak saya. Siapa yang tak marah kalau macam samseng pancung kereta orang.
“Saya cuma ajar dia cara beradab. Apa yang saya buat itu sedikit sahaja berbanding risiko yang saya hadapi. Saya minta jasa baik padamkan video itu,” tulisnya.
Setakat ini, lokasi sebenar kejadian serta sama ada laporan polis telah dibuat juga tidak dapat dipastikan.
Sehingga kini video tersebut mendapat lebih 1.4 juta tontonan, 33,100 tanda suka dan 11,100 perkongsian. – KOSMO! ONLINE














