KLANG – Taktik menukar gambar sendiri pada MyKad milik individu lain secara digital bagi mendapatkan pekerjaan segelintir warga asing terbongkar menerusi serbuan Ops Kisar di sebuah kilang pemprosesan makanan sejuk beku di Pulau Indah, di sini semalam.
Serbuan kira-kira pukul 6.30 petang dilaksanakan Jabatan turut disertai Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor itu membawa kepada penahanan 36 pekerja asing berusia antara 18 hingga 50 tahun.
Modus operandi warga asing adalah meminjam kad pengenalan daripada kenalan atau membelinya pada harga sekitar RM350 sebelum gambar pemilik asal ditukar kepada gambar sendiri menerusi telefon bimbit.
Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, operasi itu dilakukan hasil risikan pihaknya selama sebulan terutama melibatkan penggunaan MyKad palsu.
“Mereka ini kebiasaannya guna kad pengenalan sesiapa dan kemudian menukar gambar diri sendiri di telefon. Apabila datang mencari pekerjaan, mereka hanya tunjuk gambar itu dan kemudian terus didaftarkan sebagai pekerja,” katanya ketika ditemui selepas selesai operasi itu.
Jelas Badrul Hisham, mengguna pakai dan membawa kad pengenalan orang lain merupakan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Majikan perlu memainkan peranan dan tanggungjawab memastikan pekerja mereka pemilik MyKad yang sah. MyKad mesti ada kad fizikal dan kalau pekerja itu guna pasport, ia tidak boleh tamat tempoh,” ujarnya.
Tambah beliau, kesemua 32 wanita dan empat lelaki rata-ratanya warga Indonesia dibawa ke Ibu Pejabat JPN Putrajaya dan
kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. – KOSMO! ONLINE














