JOHOR BAHRU – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib yang baharu mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk kembali sertai UMNO awal bulan ini diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi berkenaan.
Perkara itu diumumkan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Majlis Pengumuman Calon BN Bagi PRN Johor yang diadakan di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor, di sini hari ini.
Pemilihan beliau bagaimanapun mengejutkan ramai pihak susulan baharu kembali menyertai UMNO tidak sampai sebulan selepas meninggalkan parti itu apabila menang kerusi DUN Endau pada PRN Johor lalu.
Pada 4 Jun lalu, Alwiyah yang merupakan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Mersing mengumumkan peletakan jawatan dan keluar parti berkenaan serta merta.
Dia dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak demi kelangsungan dan masa depan yang lebih baik buat masyarakat kawasan berkenaan selain terus memperkukuh aspek penyatuan bagi DUN Endau.
Pada PRN Johor 2018, Alwiyah memenangi kerusi DUN Endau atas tiket BN sebagai wakil daripada UMNO sebelum membuat keputusan menyertai Bersatu pada Mei tahun sama bersama beberapa ADUN UMNO lain.
Pada PRN 2022, beliau berjaya mempertahankan kerusi Endau bawah tiket Perikatan Nasional (PN) sebelum dilantik sebagai Ketua Bersatu Bahagian Mersing pada 10 Mac lalu.- KOSMO! ONLINE














