TAMPIN – Tindakan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba melarikan diri sehingga nyaris melanggar pegawai penguat kuasa imigresen memakan diri apabila dia ditahan dalam operasi di daerah ini dan Seremban semalam.
Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Mohd Razip Yasin berkata, kejadian berlaku ketika pihaknya melakukan operasi di sebuah restoran yang tular di media sosial.
“Suspek bertindak agresif dan cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan. Dalam usaha melarikan diri, lelaki itu cedera di bahagian muka sebelum ditahan.
“Hasil risikan selama seminggu mendapati suspek sentiasa berada di dalam kenderaan bagi mengelak diberkas pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi dari pukul 10 pagi hingga 9 malam itu melibatkan pemeriksaan ke atas 11 lokasi di sekitar Tampin dan Seremban. Seramai 84 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, 31 PATI berusia 19 hingga 54 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Mereka terdiri daripada 16 warga Indonesia, enam warga Vietnam, empat warga Bangladesh dan dua warga Nepal.-KOSMO! ONLINE














