PETALING JAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan merasmikan AlHijrah Media Nexus di Cyberjaya yang dilengkapi dengan Pusat Pemulihan Bencana (Disaster Recovery Centre – DRC) sebagai pelan sokongan dan tapak operasi alternatif bagi memastikan siaran TV AlHijrah dapat diteruskan tanpa gangguan dalam sebarang situasi kecemasan.
Dr. Zulkifli berkata, penubuhan hab digital tersebut membuktikan komitmen TV AlHijrah dalam memperkukuhkan ekosistem media Islamik negara menerusi penggunaan teknologi yang lebih mampan dan bersedia menghadapi sebarang cabaran.
Menurut beliau, langkah itu amat penting bagi memastikan kandungan Islamik yang berkualiti terus disampaikan kepada masyarakat secara konsisten.
“Ini adalah manifestasi nilai itqan atau kesungguhan dalam bekerja. Walaupun berdepan risiko krisis atau kecemasan, usaha untuk memastikan siaran dakwah terus ke udara dan kandungan Islamik sampai kepada masyarakat tidak pernah dikompromi. Keupayaan ini perlu dijadikan contoh oleh institusi media lain,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut menghadiri majlis minum petang bersama golongan asnaf dan pelajar tahfiz yang dianjurkan oleh TV AlHijrah.
Beliau menyifatkan penganjuran program berkenaan sebagai cerminan peranan media Islam yang bukan sahaja berfungsi sebagai platform penyebaran ilmu dan dakwah, malah turut memainkan peranan dalam memperkukuhkan kebajikan dan pembangunan ummah.
Zulkifli turut merakamkan ucapan tahniah kepada TV AlHijrah atas inisiatif tersebut dan menyeru masyarakat, khususnya golongan muda, untuk terus menyokong perkembangan media Islamik tempatan agar kekal relevan, progresif dan mampu menjadi medium penyebaran nilai-nilai Islam yang rahmah dalam era digital. – KOSMO! ONLINE














