KUALA LUMPUR – Kerajaan mempergiat usaha memperkukuhkan kapasiti sumber air mentah dan sistem bekalan air di Johor menerusi pelbagai projek strategik bagi menjamin keperluan negeri itu yang semakin berkembang pesat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara inisiatif yang sedang diteliti termasuk pembangunan empangan baharu dan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) sebagai langkah jangka panjang memastikan keselamatan sumber air negeri berkenaan.
“Usaha itu penting bagi menampung peningkatan permintaan susulan pertumbuhan sektor perindustrian, pembangunan bandar serta kemasukan pelaburan strategik termasuk pusat data.
“Kerajaan mengambil pendekatan jangka panjang bagi memastikan keselamatan sumber air negeri Johor terus terjamin selaras dengan pertumbuhan pesat sektor perindustrian, pembangunan bandar dan pelaburan strategik termasuk pusat data,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang ingin tahu mengenai pelan jangka panjang kerajaan untuk meningkatkan sumber bekalan air di Johor.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kerajaan bersama operator air negeri turut meneliti keperluan meningkatkan kapasiti sistem bekalan air dan loji rawatan air secara berperingkat.
Katanya, ketika ini empat projek pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) di bawah pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sedang dilaksanakan di Johor.
Menurut laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), jumlah pengambilan air mentah di Johor ketika ini mencecah 2,052 juta liter sehari (JLH). – KOSMO! ONLINE














