PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju membuka permohonan tuntutan bayaran balik tunai diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bermula 1 Julai depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, keadaan itu berikutan kerajaan mengambil maklum proses pengeluaran dan penghantaran fleet card oleh syarikat minyak lazimnya mengambil masa antara dua hingga tiga minggu.
Katanya, proses itu juga bergantung kepada semakan dan pengurusan dalaman syarikat minyak masing-masing.
“Kemudahan itu disediakan bagi membolehkan syarikat layak di bawah sektor pengangkutan darat awam dan barangan membuat tuntutan perbezaan harga diesel yang telah dibeli pada harga runcit tanpa subsidi dengan harga diesel bersubsidi SKDS yang sepatutnya dinikmati sementara menunggu fleet card diterima.
“Pembayaran balik tunai akan dikreditkan ke dalam akaun bank syarikat oleh Kementerian Kewangan (MOF) dalam tempoh 15 hari bekerja selepas proses semakan selesai oleh pentadbir SKDS,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Armizan berkata, kelayakan permohonan tuntutan bayaran balik tunai diesel juga bergantung kepada beberapa syarat termasuk terbuka kepada pemohon SKDS sektor pengangkutan darat awam dan barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Oleh itu, syarikat perlu mengemukakan bukti telah mendaftar di bawah SKDS dan telah memohon fleet card sebelum atau pada 30 Jun 2026.
“Pembayaran balik tunai ini adalah untuk tempoh pembelian diesel bermula 1 sehingga 31 Julai atau sehingga tarikh fleet card diterima oleh syarikat pengangkutan, iaitu yang mana lebih awal,” katanya.
Selain itu, tuntutan bayaran balik tunai wajib disokong dengan bukti resit pembelian diesel dan dimuat naik melalui portal MySubsidi.
Katanya, KPDN menggesa semua syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang layak di Sabah, Sarawak dan Labuan supaya segera membuat pendaftaran SKDS dan mengemukakan permohonan
fleet card.
“Pendaftaran yang dibuat lebih awal akan membantu mempercepatkan proses pengeluaran fleet card sekali gus memastikan syarikat dapat terus menikmati diesel bersubsidi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














