COLOMBO – Sri Lanka mengerahkan tentera untuk membendung wabak denggi bawaan nyamuk Aedes dengan pihak berkuasa kesihatan memberi amaran hari ini bahawa hospital negara itu dibebani lebih daripada 1,000 kemasukan pesakit demam denggi setiap hari.
Pejabat Presiden Anura Kumara Dissanayake menyatakan, pegawai tentera darat, tentera laut, dan tentera udara akan menyertai unit khas untuk mengenal pasti dan memusnahkan tapak-tapak pembiakan nyamuk.
Denggi menyebabkan demam panas, sakit kepala, loya, muntah, sakit otot dan dalam kes paling serius, pendarahan yang boleh membawa kepada kematian.
Hampir 50,000 kes dilaporkan sepanjang tahun ini, dengan 29 kematian, walaupun angka itu masih jauh di bawah kemuncak pada 2017, apabila 186,000 pesakit dan 440 kematian direkodkan.
Nyamuk Aedes yang menyebarkan denggi boleh dikenali melalui kakinya yang berbelang hitam dan putih. Serangga itu membiak di kolam air bertakung.
“Undang-undang ketat juga akan dikuatkuasakan terhadap mereka yang membenarkan pembiakan nyamuk Aedes selain menubuhkan unit khas tentera,” kata kenyataan sama.
Kempen pembersihan tapak-tapak pembiakan Aedes di seluruh negara pula akan dilancarkan esok.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa denggi dan virus bawaan nyamuk lain merebak lebih cepat dan meluas disebabkan oleh perubahan iklim.
Sri Lanka menyaksikan lonjakan kes denggi sejak awal bulan ini, dengan lebih daripada 1,000 pesakit dilaporkan dalam satu hari pada minggu ini, demikian menurut data rasmi.
Unit denggi kerajaan berkata, pihaknya bimbang hospital kerajaan dan swasta mungkin tidak dapat menampung bilangan pesakit seterusnya. – AFP














